Search This Blog

Pages

June 12, 2010

Sebaik-baik Nafkah

Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.”
 
(Muslim)

Kepentingan Berkasih Sayang

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang tidak mengasihi orang muda dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami.”
 
Riwayat Abu Daud

Pilihan terbaik

“Daripada Aisyah r.a. katanya, Rasulullah saw. tidak pernah memilih antara dua perkara melainkan baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selagi perkara itu tidak mendatangkan dosa. Jika mendatangkan dosa, baginda adalah orang yang pertama menjauhinya. Rasulullah s.a.w juga tidak pernah menuntut sesuatu perkara untuk kepentingan dirinya melainkan dilakukan untuk kesucian agama Allah, maka pembelaan yang dilakukan olehnya adalah semata-mata kerana Allah Taala.”
 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kepentingan Badan Yang Sihat

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Allah lebih menyayangi orang Mu’min yang kuat daripada orang Mu’min yang lemah’.
 
Riwayat Muslim

Syura Dan Kepentingannya

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufiq bagi memperelokkan urusan mereka.”
 
Riwayat at-Tabrani

Kepentingan Mengingati Mati

Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
 
Abu Sa'id r.a

June 11, 2010

Mengutamakan Kasih Sesama Muslim

Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Ketika Rasulullah s.a.w sedang hampir nazak, baginda keluar dengan kepala diikat dengan sehelai kain, lalu baginda duduk di atas mimbar. Setelah memuji dan manyanjung Allah SWT, baginda bersabda:”Tidak ada orang yang paling dekat kepadaku tentang diri dan hartanya selain Abu Bakar bin Abu Quhafah. Jikalau boleh aku memilih kawan di antara segala manusia, maka kupilih Abu Bakar. Tetapi persaudaraan sesama Islam lebih utama. Tutuplah semua pintu masjid ini kecuali pintu Abu Bakar.”
 
(al-Bukhari)


June 10, 2010

Jalan Yang Menyampaikan Kepada Ma'rifat

Nabi s.a.w bersabda: " Fikirkanlah mengenai segala makhluk Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa (dalam kesesatan)."
 
Abu Zar r.a

June 9, 2010

Usah Pentingkan Diri Sendiri

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).”
 
(Muslim)

June 8, 2010

Matinya Tiap-tiap Yang Bernyawa Apakala Berakhir Umur Dunia Kemudian Semuanya Dihidupkan Semula



Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi)." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa." Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….; Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….")
 
al-Nawwas bin Sam'an r.a