Hadis dari Ummu Salamah r.a:
Diriwayatkan daripada Kuraib r.a katanya: Sesungguhnya Abdullah bin Abbas, Abdul Rahman bin Azhar dan Miswar bin Makhramah, menyuruhku untuk menemui Aisyah isteri Nabi s.a.w. Mereka berkata: Sampaikan salam kami semua kepadanya. Juga tanyakan kepadanya mengenai sembahyang dua rakaat selepas sembahyang Asar. Katakan juga kepadanya, bahawa kami telah mendengar khabar yang dia juga melakukan dua rakaat sesudah Asar. Sedangkan setahu kami, Rasulullah s.a.w melarang kami melakukannya. Kata Ibnu Abbas: Waktu itu aku yang sedang bersama Umar bin Al-Khattab segera meninggalkan tempat tersebut. Kemudian Kuraib bercerita: Tanpa membuang masa aku terus menemui Aisyah dan menyampaikan apa yang mereka katakan padaku. Aisyah menjawab: Tanyalah Ummu Salamah. Aku terus pulang menemui orang-orang yang menyuruhku tadi dan aku beritahu tentang jawapan Aisyah. Setelah itu mereka menyuruhku berjumpa Ummu Salamah supaya bertanyakan soalan sebagaimana yang dikemukakan kepada Aisyah. Ummu Salamah menjawab: Dia memang pernah mendengar Rasulullah s.a.w melarangnya. Namun begitu dia juga pernah melihat baginda melakukannya. Dimana setelah baginda selesai mendirikan sembahyang Asar, baginda masuk ke dalam rumah. Pada waktu itu Ummu Salamah bersama seorang wanita Bani haram dan seorang wanita golongan Ansar. Baginda terus mendirikan sembahyang dua rakaat tersebut. Ummu Salamah kemudiannya menyuruh seorang hamba perempuan supaya berdiri di samping baginda dan bertanya tentang sembahyang dua rakaat yang baginda lakukan kerana baginda pernah melarangnya. Sebelum itu Ummu Salamah telah berpesan kepada hamba perempuan tersebut agar menggunakan isyarat tangan. Hamba perempuan itu pun melaksanakan suruhan Ummu Salamah dan ternyata Nabi s.a.w memberikan isyarat tangan supaya menjauhkan diri dari baginda. Apabila jariah itu mulai beredar, baginda lalu bersabda: Wahai puteri Abu Umayyah! Kamu tentu akan bertanyakan mengenai dua rakaat selepas Asar yang baru aku lakukan. Ketahuilah, wahai Puteri Abu Umayyah! Sebenarnya tadi beberapa orang dari suku Abdul Qais datang kepadaku membuat urusan pengislaman kaumnya, sehingga membuatkan aku terlambat melakukan dua rakaat selepas sembahyang Zuhur. Manakala yang sebentar tadi itu adalah dua rakaat yang belum sempat aku lakukannya.
No comments:
Post a Comment