Search This Blog

Pages

June 6, 2011

Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang menghadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya. Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan langit? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu? Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan. Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #13,Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam)

No comments:

Post a Comment