Search This Blog

Pages

December 20, 2011

Wahyu Mula Diturunkan Kepada Rasulullah s.a.w

 Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: 
Permulaan wahyu Rasulullah s.a.w telah berlaku dalam bentuk mimpi yang benar dalam tidur baginda. Baginda mendapati mimpi tersebut sebagaimana munculnya keheningan fajar Subuh yang menyebabkan baginda suka menyepi diri. Baginda biasanya menyepi di gua Hira'. Di sana baginda menghabiskan beberapa malam untuk beribadat dengan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t sebelum kembali ke rumah. Untuk tujuan tersebut baginda membawa sedikit bekalan. Setelah beberapa hari berada di sana baginda pulang kepada Khadijah, mengambil bekalan untuk beberapa malam. Keadaan ini terus berlarutan, sehinggalah baginda didatangi wahyu ketika baginda berada di gua Hira'. Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibril a.s dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku lalu memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Kemudian Malaikat melepasku dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda sekali lagi bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku buat kali kedua lalu memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Malaikat seterusnya melepasku dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad! Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku buat kali ketiga serta memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Kemudian Malaikat melepaskan aku dan membaca firman Allah � Yang bermaksud: Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui. Setelah itu baginda pulang dalam keadaan ketakutan ke pangkuan Saidatina Khadijah, baginda berkata: Selimutlah aku! Selimutlah aku. Lalu Saidatina Khadijah menyelimutkan baginda hingga hilang rasa gementar dari diri baginda. Baginda kemudiannya bersabda kepada Khadijah: Wahai Khadijah! Apakah yang telah berlaku kepadaku? Baginda pun menceritakan seluruh peristiwa yang berlaku. Baginda bersabda lagi: Aku benar-benar bimbang pada diriku. Khadijah terus menghibur baginda dengan berkata: Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, engkau telah menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran. Khadijah beredar seketika dan kembali semula menemui baginda dengan membawa bersama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Dia pernah menjadi Nasrani pada zaman Jahiliah. Dia suka menulis dengan tulisan Arab dan cukup banyak menulis kitab Injil dalam tulisan Arab. Ketika itu dia telah tua dan buta. Khadijah berkata kepadanya: Pak Cik! (Pak Cik adalah panggilan yang biasa digunakan oleh bangsa Arab bagi sepupu dan sebagainya kerana menghormati mereka atas dasar lebih tua) Dengarlah cerita anak saudaramu ini. (Panggilan anak saudara juga adalah sama permasalahannya dengan panggilan Pak Cik bagi bangsa Arab cuma sebaliknya) Waraqah bin Naufal berkata: Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah berlaku? Rasulullah s.a.w menceritakan semua peristiwa yang baginda telah alami. Mendengar peristiwa itu, Waraqah berkata: Ini adalah undang-undang yang suatu ketika dahulu pernah diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Alangkah baik sekiranya aku masih muda di saat-saat engkau dibangkitkan menjadi Nabi. Juga alangkah baik kiranya aku masih hidup di saat-saat engkau diusir oleh kaummu. Lalu Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa: Apakah mereka akan mengusirku? Waraqah menjawab: Memanglah, setiap Nabi yang bangkit membawa tugas sepertimu, pasti akan dimusuhi. Seandainya aku masih hidup di zamanmu, nescaya aku akan tetap membelamu.

No comments:

Post a Comment