Search This Blog

Pages

November 11, 2011

Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #129,Bab Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar)


Hadis Aisyah r.a katanya: 
Tatkala Rasulullah s.a.w ditimpa sesuatu kesusahan, akan terpamerlah kegelisahan pada raut wajah baginda. Begitu juga apabila segala kegelisahan itu telah hilang, akan terpancarlah ketenangan pada raut wajah baginda. Baginda bersabda: Allah melaknati orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid. Lalu baginda memberi peringatan dari melakukan perbuatan seumpama itu.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #826,Bab Larangan Membina Masjid Di Atas Kubur Dan Menggantung Gambar Di Dalam Masjid Serta Larangan Menjadikan Kubur Sebagai Tempat Sembahyang)


Hadis Anas bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2429,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Ali bin Abu Talib r.a: 
Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2433,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah Haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2434,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila seorang isteri tidur dengan keadaan lari dari katil suaminya iaitu tidak mahu disetubuhi, para Malaikat melaknatinya sehingga dia bangkit dari tidurnya di waktu pagi.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2594,Bab Haram Seorang Isteri Menegah Iaitu Menolak Suami Dari Bersetubuh Dengannya)


Hadis dari Ibnu Umar r.a: 
Diriwayatkan oleh Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah ditanya mengenai kes dua orang yang dili'an pada masa Mus'ab. Adakah keduanya harus dipisahkan? Oleh kerana tidak dapat menjawabnya, aku pergi ke kediaman Ibnu Umar di Mekah. Setelah sampai, aku meminta izin dari pelayan supaya membenarkan aku masuk menemui Ibnu Umar. Pelayan itu memberitahu kepadaku bahawa dia sedang tidur. Rupa-rupanya, Ibnu Umar mendengar suaraku lalu bertanya: Siapakah itu? Ibnu Jubairkah? Aku menjawab: Benar! Dia berkata: Masuklah! Demi Allah, pasti ada sesuatu hajat penting sehingga kamu datang menemui aku di waktu begini. Aku pun masuk dan mendapati dia berbaring di atas kain pelana dan bersandar pada sebuah bantal yang berisi sabut kurma. Aku memulakan kata-kata: Wahai Abu Abdul Rahman! Adakah harus dipisahkan suami isteri yang bersumpah li'an? Ibnu Umar menjawab: Maha Suci Allah. Memang begitulah dan sesungguhnya orang pertama yang pernah menanyakan hal itu adalah Si Polan bin Polan, dia bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu jika salah seorang daripada kami mendapati isterinya melakukan suatu perbuatan keji dan menjijikkan. Apa yang patut dilakukan? Jika suami itu membicarakannya, bermakna dia telah bertanggungjawab di atas suatu perkara yang sungguh besar. Begitu juga kiranya dia mendiamkan diri. Apabila ditanya begitu, Nabi s.a.w hanya diam saja dan tidak menjawabnya. Setelah beberapa ketika, Si Polan bin Polan itu datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: Sebenarnya perkara yang saya ajukan kepada anda ini, berlaku ke atas diri saya. Maka Allah s.w.t menurunkan FirmanNya yang terdapat dalam surah An-Nur: ����������� ��������� ������������� Yang bermaksud: Orang-orang yang menuduh isterinya berzina tanpa bersaksi. Maka mereka dituntut supaya bersumpah empat kali berturut-turut bahawa dia benar-benar mengetahui mengenainya. Baginda membacakan Firman Allah tersebut dengan lengkap serta menasihati dan mengingatkan bahawa sesungguhnya seksa dunia itu tidaklah setanding dengan seksaan di akhirat. Namun Si Polan bin Polan itu tetap berkeras: Tidak! Demi Allah yang mengutuskanmu, aku tidak berdusta mengenai isteriku. Akhirnya Rasulullah s.a.w memanggil isteri Polan bin Polan tersebut. Baginda juga menasihatkan wanita itu dan mengingatkan bahawa seksaan di dunia ini tidak seberapa berbanding dengan seksa di akhirat. Namun sebagaimana suaminya juga, wanita itu tetap dengan pendiriannya dan berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu! Sesungguhnya dialah yang berdusta. Rasulullah s.a.w memulai dengan pihak suami. Lalu dia pun bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang benar, sedangkan pada sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Kemudian baginda meneruskan pula sebelah pihak isteri. Dia juga berani bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta dan sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar. Kemudian setelah itu Rasulullah s.a.w memisahkan antara keduanya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2742,KITAB LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI)


Hadis Sayidina Umar r.a: 
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya: Umar terdengar bahawa Samurah menjual arak, maka beliau berkata: Semoga Allah membinasakan Samurah. Adakah dia tidak tahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semoga Allah melaknati orang Yahudi. Ketika diharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka mencairkannya lalu menjualnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2961,Bab Pengharaman Jual Beli Arak, Bangkai, Babi Dan Patung Berhala)


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah melaknati seorang pencuri yang mencuri telur maka dipotong tangannya, kemudian dia mencuri tali lalu dipotong tangannya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3195,KITAB HUDUD)


Hadis Ibnu Umar r.a: 
Suatu hari Ibnu Umar berjalan melalui sekumpulan lelaki yang sedang mengurung seekor ayam untuk mereka panah. Apabila mereka melihat Ibnu Umar, mereka berhenti dari melakukannya. Lalu Ibnu Umar bertanya: Siapa yang melakukannya? Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknati mereka yang melakukannya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3618,Bab Larangan Mengurung Binatang Ternakan)

No comments:

Post a Comment