Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...” (Al-Bukhari) |
April 30, 2010
Dagang Di Dunia
Haji Ketika Sakit
Dari A’isyah r.a katanya:”rasulullah s.a.w datang ke rumah Dhuba’ah binti Zubair bin Abdul Mutalib; lalu kata Duba’ah:”Ya Rasulullah! Aku bermaksud hendak menunaikan ibadah haji tetapi aku sakit. Bagaimana itu? Maka bersabda nabi s.a.w:”Hajilah dan syaratkan dalam niatmu untuk tahallul (berhenti) jika tidak sanggup meneruskannya kerana bertambah sakit.” (Muslim) |
Dugaan Menghapuskan Dosa
Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.” (Muslim) |
Hulurkan Tangan, Ringankan Beban
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Pada hari kiamat kelak Allah Azza Wajalla berfirman:”Hai anak Adam! Aku sakit. Mengapa tidak engkau kunjungi Aku?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhanku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati-Ku di sisinya?” “Hai anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan minta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi-Ku?” “Hai anak Adam! Aku minta minum kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku minum?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Hamba-Ku si fulan minta minum kepadamu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi-Ku.” (Muslim) |
Dunia Hanya Sementara
Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda:” Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (al-Bukhari) |
Wasilah Meningkatkan Darjat
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat” (Muslim) |
Menjaga Keutuhan Ummah
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.” Riwayat Muslim |
Keharusan Menziarahi Orang Kafir Yang Sakit
Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.” (Bukhari) |
Dunia Sebagai Tempat Berdagang
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang dinegeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan. “Ibnu Umar r.a. berkata,” Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”. al-Bukhari |
Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana Hadith :
Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan", dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat". Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a |
Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana
Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya." Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a |
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya." Ummi Salamah |
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Rasulullah s.a.w bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan sakit itu."
Menghormati Orang Yang Sedang Sakit
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!". Ibn Abbas r.a |
April 29, 2010
Tanpa Syak Dan Ragu-ragu
Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya : Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi S.A.W. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata : "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah S.A.W. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka?"…Setelah itu aku pun berhenti dari menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda : "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar." (Abu Daud) |
Menahan marah
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Riwayat al-Bukhari |
April 28, 2010
Sebaik-baik Pemberian
Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik pemberian ialah unta yang mempunyai susu, yang banyak susunya dan kambing yang banyak susunya. Dia pergi pada pagi hari dengan satu bejana dan kembali dengan satu bejana pula.” (al-Bukhari dan Muslim) |
Kelebihan Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).” |
Haram Berkahwin Dengan Saudara Sesusu
Diriwayatkan oleh Abdullah Mulaika r.a: “Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata :”Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya :” Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku.” Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: “Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu) ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain.” (al-Bukhri) |
Keistimewaan Wudhu’ Yang Sempurna
Dari Abu Hurairah r.a., katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w.:” Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah1) dan ‘Adan’ airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.:” Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.:” Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.” (Muslim) |
Membersihkan Najis Mukhaffafah
Dari Ummu Qais binti Mihsan katanya:”Dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan anak lelakinya yang belum makan sesuatu selai dari susu ibunya; ketika anak itu dalam pangkuan Nabi s.a.w, ia terkencing. Berkata yang meriwayatkan hadith ini dari Ummu Qais, bahawa Rasulullah s.a.w tidak lebih dari memercikkan air ke tempat yang terkena kencing itu.” (Muslim) |
Pahala Yang Amat Besar
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang meminjamkan untanya kepada satu keluarga untuk diperah susunya pagi dan petang maka pahalanya sungguh sangat besar.” (Muslim) |
Pilihan Terbaik
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada malam terjadinya israk dan mikraj di Baitul Maqdis, baginda dihidangkan dua gelas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua gelas itu, maka baginda mengambil gelas berisi susu. Berkata Jibrail:”Segala puji bagi Allah yang membimbing anda memilih yang suci. Seandainya anda memilih arak, nescaya sesatlah umatmu.” (Muslim) |
Soalan Yang Ditanya Di Padang Mahsyar
Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?’’ Riwayat al-Tirmizi |
Matinya Tiap-tiap Yang Bernyawa Apakala Berakhir Umur Dunia Kemudian Semuanya Dihidupkan Semula
Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi)." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa." Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….; Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….") al-Nawwas bin Sam'an r.a |
Al-quran Al-karim
Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus." Ali r.a |
Haidh Ketika Haji
Dari Aisyah r.a katanya:”Kami pergi bersama-sama nabi s.a.w, tiada niat kami selain haji. Setelah kami sampai dekat Sarif) tiba-tiba aku haidh. Ketika nabi s.a.w masuk ke dalam khemahku, didapatinya aku sedang menangis. Lalu beliau bertanya:”Apakah kamu haidh?” Jawabku:”Benar Ya Rasulullah.” Sabda beliau :”Haidh adalah perkara yang lumrah bagi puteri-puteri Adam. Kerana itu kerjakanlah apa yang seharusnya dikerjakan oleh orang haji kecuali tawaf di Baitullah sehingga engkau mandi (suci) lebih dahulu.” Kata Aisyah:”Kemudian beliau menyembelih lembu untuk korban para isterinya.” (Muslim) |
April 27, 2010
Sumber Yang Haram
Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Jika engkau menjual buah-buahan (yang masih di pokok/kebun), lalu buah-buahan itu rosak dimakan hama, maka tidak halal bagimu menerima pembayaran kerana bererti engkau mengambil harta saudaramu tanpa hak.” (Muslim) |
Pemberian Ansar Kepada Muhajirin
Dari Anas bin Malik r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tidak membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan mereka (muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas dikenali dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda berikannya kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.” (Bukhari) |
April 26, 2010
Jalan Yang Menyampaikan Kepada Ma'rifat
Dari Nabi s.a.w, sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah….." Ibn Abbas r.a |
Sabar
Daripada Abu Malik al-Harith bin A`sim al-Asya`ri r.a , katanya, telah bersabda rasul s.a.w , “kesucian zahir dan batin sebahagian daripada iman, ucapan alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, sembahyang sebagai cahaya, sedekah pula bukti iman, sabar itu sebagai sinaran, al-Quran itu sebagai bukti untukmu atau atasmu dan setiap manusia dipagi lagi ada yang menjual dirinya ( memelihara diri daripada siksaan Allah) dan ada juga yang membinasakan dirinya sendiri ( tidak ingin keredaan Allah) Riwayat Muslim |
April 25, 2010
Jalan Ke Syurga
Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.” (Muslim) |
Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim
Dari Abdullah, katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami:” Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau:” Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata:” Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.” (Muslim) |
99 Nama Allah
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama iaitu seratus kurang satu. Siapa menghafalnya masuk syurga." (Muslim) |
Luasnya Syurga!
Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:”Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengendara selama seratus tahun.” (Muslim) |
Keunikan Ahli Syurga
Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus.” Para sahabat bertanya:”Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:”Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.” (Muslim) |
Bahagianya Di Alam Syurga
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula sekembalimu.” (Muslim) |
Kembali Ke Asalnya
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Allah Taala menjadikan Adam pada permulaan kejadiannya ialah seperti rupanya di bumi, tingginya enam puluh hasta. Setelah dia selesai tercipta, Allah Taala berfirman kepadanya:”Pergilah kepada kelompok malaikat yang sedang duduk. Dengarkan jawapan mereka menjawab salammu. Begitulah cara kamu dan cara anak cucumu nanti memberi salam (penghormatan).” Maka pergilah Adam kepada kelompok malaikat itu, lalu diucapkannya salam:”Assalamualaikum” (selamat sejahtera ke atasmu). Jawab para malaikat:”Assalamualaika warahmatullah” (selamat sejahtera ke atas kamu juga dan beroleh rahmat Allah). Firman Allah:”Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam. Tingginya enam puluh hasta, sekalipun makhluk kemudian semakin pendek hingga sekarang.” (Muslim) |
Allah Maha Sempurna
Dari Mughirah r.a katanya:”Saad bin Ubadah mengatakan,:”Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya.” Ucapan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata:”Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.” (al-Bukhari) |
Keistimewaan Khadijah
Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.” (Bukhari) |
Syurga Orang Kafir; Penjara Orang Mukmin
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Muslim) |
Ganjaran Menghadirkan Diri Ke Masjid
Diriwayatakan daripada Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”sesiapa yang pergi ke masjid pagi atau petang nescaya disediakan Allah tempat baginya di syurga, setiap kali dia pergi pagi atau petang.” (al-Bukhari) |
Menjadi Saksi Allah
Dari Anas r.a katanya:”Suatu arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. “Ya, pasti.” Berkata rasulullah s.a.w. menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula:”Mayat yang jahat.” Berkata Rasulullah saw.:”Ya, pasti!” Maka bertanya Umar bin al-Khattab:”Apakah yang pasti ya Rasulullah?” jawab baginda:”Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.” (Bukhari) |
Orang Yang Mati Syahid
Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”. (Abu Daud dan at-Tirmidzi) |
Umrah Menghapus Dosa , Haji Dibalas Syurga
Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya”. (al-Bukhari dan Muslim) |
Kemuliaan Mati Syahid
Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid.” (Muslim) |
Alangkah Ruginya!
Kaab bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada Rasulullah S.A.W di mana baginda bersabda:” Hampiri mimbar! Lalu kami semua menurutinya, ketika baginda melangkah ke tangga yang pertama baginda mengatakan:”Amin”. Apabila baginda melangkah tangga yang kedua baginda mengatakan:”Amin”, begitulah apabila baginda melangkah tangga yang ketiga. Lalu kami bertanyakan tentang maksud perbuatannya itu, baginda menjawab:”Aku didatangi Jibrail a.s mengatakan kepadaku:”Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan.” Aku pun menyahut dengan berkata:”Amin”. Di tangga yang kedua Jibrail mengatakan:”Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu,” aku pun menyahut:”Amin.” Di tangga yang ketiga Jibrail mengatakan:”Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan:”Amin.” |
Syurga Ar-royyan Untuk Orang Yang Berpuasa
Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.” (Bukhari & Muslim) |
Mendirikan masjid
Dari Muhammad bin Labid r.a katanya:”Ketika Usman bin Affan bermaksud hendak merombak masjid (Madinah), orang ramai tidak setuju. Mereka lebih suka membiarkannya sebagaimana adanya. Maka berkata Usman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesiapa yang membangunkan masjid kerana Allah, maka Allah akan membuatkan untuknya rumah seperti itu di syurga.” (Muslim) |
Rumahku syurgaku
Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.” (al-Bukhari) |
Syurga Yang Didambakan
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab baginda:”Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.” (al-Bukhari) |
Kolam al-kauthar
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Kauthar itu ialah sebatang sungai dalam syurga, kedua-dua tebingnya adalah daripada emas, aliran airnya di atas mutiara dan yakut, bau tanah di dasarnya lebih harum dari kasturi dan airnya lebih manis dari air madu dan lebih putih dari salji.” (Tirmidzi) |
Kebahagiaan Memberi Dan Menerima
Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga.” (at-Tirmidzi) |
Sabar Atas Kematian Insan Tersayang
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.” (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban) |
Majlis zikir
Sabda Rasulullah s.a.w:”Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah” Para sahabat bertanya:”Apakah itu taman syurga?”Jawab baginda:”Majlis Zikir.” Riwayat at-Tirmidzi |
Syafaat rasulullah
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.” Riwayat Abu Daud |
Larangan Menyombong Diri
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.
Riwayat Muslim
Muliakanlah Anak Yatim
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).” (Bukhari) |
Kedudukan Masjid Dalam Islam
Dari Uthman , r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang membina sesebuah masjid (atau surau) secara ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga.” Riwayat Bukhari dan Muslim |
April 24, 2010
Anak kunci syurga
Dari Jabir r.a , katanya: Rasul s.a.w bersabda: “anak kunci syurga ialah sembahyang….” Riwayat Imam Ahmad |
April 23, 2010
Sabar Mencerminkan Keimanan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” Riwayat Bukhari |
Kelebihan Bulan Ramadhan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.” Riwayat Bukhari & Muslim |
Menjadi Isteri Solehah
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah |
Matinya Tiap-tiap Yang Bernyawa Apakala Berakhir Umur Dunia Kemudian Semuanya Dihidupkan Semula
Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi)." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa." Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….; Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….") al-Nawwas bin Sam'an r.a |
Terbuka Hijab Sebelum Meninggal
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang kamu mati, didedahkan kepadanya - pagi dan petang - tempat tinggalnya kelak; sekiranya si mati itu dari ahli Syurga maka Syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai nikmatnya, dan jika ia dari ahli Neraka maka Nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai azab sengsaranya." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kemudian dikatakan kepada masing-masing: "Inilah tempat tinggalmu yang engkau akan dibawa kepadanya pada hari kiamat." Ibn Umar r.a |
Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab: "Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!" Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: "Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya." Abu Hurairah r.a |
Kepentingan Mengingati Mati
Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka". Abu Sa'id r.a |
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi." Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….." Al-Bara' bin 'Azib r.a |
Cara Malaikat Mengambil Nyawa Manusia
Rasulullah s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah, dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya." Dari Sebilangan Sahabat r.a |
Malaikat Pencatat Selawat
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah, ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu-pintu Syurga, katanya: "Wahai Hamba Allah! Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya! Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang: ia tetap diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan: ia tetap diseru dari pintu perjuangan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa: ia tetap diseru dari pintu puasa yang bernama: Rayyan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah: ia tetap diseru dari pintu sedekah." Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar r.a berkata: "Ayah dan ibuku menjadi galang gantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan)! Tiadaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu?" Nabi s.a.w menjawab: "Ia ada! Dan aku harap engkau seorang dari mereka yang berbahagia itu." Abu Hurairah r.a |
Subscribe to:
Posts (Atom)