Search This Blog

Pages

January 7, 2012

Sebahagian Dari Kelebihan Umar r.a


Hadis Ibnu Umar r.a: 
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat sebekas susu yang dihidangkan kepadaku. Aku meminumnya sehinggalah aku dapati zatnya memasuki kuku-kuku aku, kemudian aku berikan lebihan aku itu kepada Umar bin Al-Khattab. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pentafsiran kamu mengenai mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Itulah ilmu.



January 6, 2012

Menghukum Mengikut Perkara Zahir Dan Kepintaran Berhujah (Mengemukakan Alasan

 Hadis Ummu Salamah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu berkelahi di hadapanku. Boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pandai mengemukakan alasannya dari yang lain, maka aku akan memutuskan mengikut apa yang telah aku dengari. Oleh sebab itu, sesiapa yang telah aku berikan sebahagian dari hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Kerana sesungguhnya apa yang aku berikan kepadanya itu, tidak lain hanyalah sepotong api Neraka.

Kelebihan Orang Yang Mahir Tentang Al Quran Dan Orang Yang Lemah Dalam Pembacaan Al Quran

  Hadis Aisyah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang pandai membaca Al-Quran itu akan bersama para Rasul yang mulia. Adapun orang yang lemah dan terlekat-lekat ketika membaca Al-Quran dan dia memang berkeinginan untuk membaca Al-Quran, maka dia berhak mendapat dua pahala.

Memberikan Kepada Orang Yang Ingin Dijinakkan Hatinya Kepada Islam Dan Menyabarkan Orang Yang Teguh Imannya

 Hadis Anas bin Malik r.a: 
Sesungguhnya orang ramai dari golongan Ansar telah bercakap-cakap mengenai Peperangan Hunain sewaktu Allah menganugerahkan harta-harta dari kabilah Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy. Melihatkan keadaan itu, mereka pun berkata: Semoga Allah mengampuni Rasulullah. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami iaitu tidak memberi apa-apa kepada kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Anas bin Malik berkata: Kata-kata tersebut disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan agar memanggil golongan Ansar. Baginda menempatkan mereka dalam sebuah khemah dari kulit. Setelah mereka semua berkumpul, Rasulullah s.a.w datang kemudian bertanya: Adakah percakapan yang sampai kepadaku datang dari kamu sekalian? Orang yang bijak di kalangan golongan Ansar menjawab: Orang-orang tua di antara kami tidak mengatakan apa-apa wahai Rasulullah. Pemuda-pemuda dari kalangan kami yang mengatakan: Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada orang Quraisy dan meninggalkan kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberikan kepada orang-orang yang baru saja meninggalkan kekufuran untuk memujuk hati mereka agar tetap dengan Islam. Tidakkah kamu sekalian redha jika mereka beredar dengan membawa harta, sedangkan kamu kembali ke tempat kamu bersama Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang iaitu Rasulullah pasti lebih baik timbangannya dari apa yang mereka bawa iaitu harta. Orang-orang Ansar itu berkata: Tentu sekali kami reda wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian akan menempuhi keadaan yang kamu semua tidak menyukainya. Oleh itu bersabarlah sehingga kamu bertemu Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku akan berada di sebuah telaga menunggu kamu sekalian pada Hari Kiamat. Mereka berkata: Kami akan bersabar.

January 5, 2012

Menerangkan Contoh contoh Nabi s.a.w Menyampaikan Petunjuk dan Ilmu

 Hadis Abu Musa r.a: 
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Perumpamaan Allah Azza Wa Jalla mengutusku menyampaikan petunjuk dan ilmu adalah seperti titisan hujan yang telah membasahi bumi. Manakala bumi tersebut sebahagian tanahnya ada yang subur sehingga dapat menyerap air serta menumbuhkan rumput dan sebahagian lagi berupa tanah-tanah keras yang dapat menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia sehingga mereka dapat meneguk air, memberi minum dan menggembala ternaknya di tempat itu. Ada juga titisan air hujan tersebut jatuh di tanah yang lain, iaitu tanah gersang yang sama sekali tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput rampai. Manakala itu semua adalah perumpamaan orang yang bijak pandai tentang agama Allah dan memanfaatkannya setelah aku diutus oleh Allah. Maka baginda tahu dan mahu mengajar apa yang diketahuinya dan juga perumpamaan orang yang keras kepala yang tidak mahu menerima petunjuk Allah yang kerana-Nya aku diutuskan.

January 3, 2012

Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga

 Hadis Itban bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.

December 30, 2011

Saf





Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw, bersabda, "Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat". (HR Bukhari & Muslim)


Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok atau akan berpecah belah hati kamu." (HR Muslim)


Nabi saw. bersabda,"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan janganlah kamu biarkan celah-celah yang kosong itu untuk syaitan. Sesiapa menghubungkan saf maka Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya dan sesiapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskan dia daripada rahmat dan pertolonganNya". (HR Abu Daud)


Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya(buku lali) dengan mata kaki(buku lali) saudaranya.” (HR Abu Daud).


Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Pada waktu solat setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki (buku lali) saudaranya". (HR Bukhari).


Nabi saw. bersabda,"Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf". (HR Abu Daud).


Nabi saw. bersabda "Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup ruang kosong dalam saf". (HR Thabrani).


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah di hadapan dan seburuk-buruk ialah di belakang, sebaik-baik saf bagi wanita ialah di belakang dan seburuk-buruk ialah di hadapan." (HR Muslim)


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Seandainya kamu tahu kelebihan yang terdapat di saf pertama niscaya kamu akan membuat undian untuk mendapatkannya". (HR Bukhari & Muslim)


Nabi saw. bersabda,“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di saf pertama”. (HR Abu Daud dan Nasa’i)

Kelebihan Solat Jumaat

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (HR Bukhari)


Keterangan Hadis:


1. Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.


2. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’.


3. Mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.


4. Malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

December 29, 2011

Haram Menyambung Rambut Dengan Rambut Orang Lain Dan Meminta Supaya Disambungkan Rambutnya Dengan Rambut Orang Lain, Membuat Tatu Dan Meminta Supaya Dibuatkan Tatu, Menghilangkan Rambut Pada Wajah Dan Meminta Supaya Dihilangkan Rambut Pada Wajahnya, Merenggangkan Gigi Dan Mengubah Ciptaan Allah

 Hadis Muawiyah bin Abu Sufian r.a: 
Diriwayatkan daripada Humaidi Ibnu Abdul Rahman bin Auf katanya: Aku pernah mendengar Muawiyah bin Abu Sufian r.a berkata di atas mimbar sambil memegang jambul rambut yang kemudiannya jambul tersebut dipegang oleh pengawal. Wahai penduduk Madinah! Di mana Ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah s.a.w melarang hal semacam ini iaitu membuat jambul pada rambut, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Bani Israel mengalami kecelakaan ketika para wanita mereka menggunakan hal ini.

Sembahyang Khauf Iaitu Ketika Dalam Keadaan Ketakutan

 Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: 
Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w turut mendirikan sembahyang Khauf. Kami membentuk dua saf. Satu saf berada di belakang Rasulullah s.a.w manakala pihak musuh berada di antara kami dan kiblat. Ketika Nabi s.a.w mengangkat takbir kami semua ikut mengangkat takbir. Kemudian baginda rukuk dan kami semua pun ikut rukuk. Kemudian baginda mengangkat kepala dari rukuk kami pun turut melakukan hal yang sama. Kemudian baginda turun untuk sujud bersama saf pertama. Sementara itu saf yang di belakang tetap berdiri berhadapan dengan musuh. Ketika Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf pertama. Saf yang di belakang pula turun untuk melakukan sujud dan kemudian berdiri. Kemudian saf yang belakang itu maju ke hadapan dan saf pertama bergerak ke belakang. Kemudian Nabi s.a.w rukuk dan kami semua ikut serta rukuk bersama baginda. Kemudian Nabi berdiri tegak dan kami pun mengikuti baginda. Sementara barisan yang tadi berada di belakang ikut sujud bersama baginda, manakala barisan yang satu lagi tetap berdiri menghadapi musuh. Apabila Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf yang berada di belakang baginda, maka barisan yang di belakang pula turun sujud. Setelah mereka selesai sujud, Nabi s.a.w memberi salam dan kami semua ikut serta memberi salam. Kata Jabir: Seperti yang biasa dilakukan oleh pasukan pengawal terhadap pemimpin mereka.