Search This Blog

Pages

December 29, 2011

Haram Menyambung Rambut Dengan Rambut Orang Lain Dan Meminta Supaya Disambungkan Rambutnya Dengan Rambut Orang Lain, Membuat Tatu Dan Meminta Supaya Dibuatkan Tatu, Menghilangkan Rambut Pada Wajah Dan Meminta Supaya Dihilangkan Rambut Pada Wajahnya, Merenggangkan Gigi Dan Mengubah Ciptaan Allah

 Hadis Muawiyah bin Abu Sufian r.a: 
Diriwayatkan daripada Humaidi Ibnu Abdul Rahman bin Auf katanya: Aku pernah mendengar Muawiyah bin Abu Sufian r.a berkata di atas mimbar sambil memegang jambul rambut yang kemudiannya jambul tersebut dipegang oleh pengawal. Wahai penduduk Madinah! Di mana Ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah s.a.w melarang hal semacam ini iaitu membuat jambul pada rambut, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Bani Israel mengalami kecelakaan ketika para wanita mereka menggunakan hal ini.

Sembahyang Khauf Iaitu Ketika Dalam Keadaan Ketakutan

 Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: 
Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w turut mendirikan sembahyang Khauf. Kami membentuk dua saf. Satu saf berada di belakang Rasulullah s.a.w manakala pihak musuh berada di antara kami dan kiblat. Ketika Nabi s.a.w mengangkat takbir kami semua ikut mengangkat takbir. Kemudian baginda rukuk dan kami semua pun ikut rukuk. Kemudian baginda mengangkat kepala dari rukuk kami pun turut melakukan hal yang sama. Kemudian baginda turun untuk sujud bersama saf pertama. Sementara itu saf yang di belakang tetap berdiri berhadapan dengan musuh. Ketika Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf pertama. Saf yang di belakang pula turun untuk melakukan sujud dan kemudian berdiri. Kemudian saf yang belakang itu maju ke hadapan dan saf pertama bergerak ke belakang. Kemudian Nabi s.a.w rukuk dan kami semua ikut serta rukuk bersama baginda. Kemudian Nabi berdiri tegak dan kami pun mengikuti baginda. Sementara barisan yang tadi berada di belakang ikut sujud bersama baginda, manakala barisan yang satu lagi tetap berdiri menghadapi musuh. Apabila Nabi s.a.w selesai sujud bersama saf yang berada di belakang baginda, maka barisan yang di belakang pula turun sujud. Setelah mereka selesai sujud, Nabi s.a.w memberi salam dan kami semua ikut serta memberi salam. Kata Jabir: Seperti yang biasa dilakukan oleh pasukan pengawal terhadap pemimpin mereka.

December 28, 2011

Galakan Supaya Berkahwin Kepada Orang Yang Terlalu Ingin Berkahwin Dan Telah Mempunyai Perbelanjaan Iaitu Saraan Hidup. Sementara Orang Yang Tidak Mempunyai Perbelanjaan Iaitu Saraan Hidup Hendaklah Selalu Berpuasa

 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: 
Diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.

Kisah Mengenai Tiga Orang Yang Berada Di Dalam Gua Dan Tawassul Mereka Dengan Amalan Soleh Masing masing

 Hadis Abdullah bin Umar r.a: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika tiga orang lelaki sedang berjalan-jalan, tiba-tiba turun hujan. Lalu mereka berteduh di dalam gua sebuah gunung. Secara tiba-tiba pintu gua itu tertutup dengan sebuah batu besar menyebabkan mereka terkurung, lalu sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Ingatlah semua amal baik yang pernah kamu lakukan kerana Allah s.w.t. Setelah itu berdoalah kepada Allah s.w.t dengan amalan masing-masing. Semoga Allah s.w.t menolong kesulitan ini. Lelaki pertama berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah tua melarat. Mereka tinggal bersama keluargaku yang terdiri dari seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Aku pelihara mereka serta berkhidmat untuk mereka. Sebaik sahaja aku mempunyai masa lapang aku terus memerahkan susu untuk mereka. Aku utamakan kedua orang tuaku untuk meminumnya terlebih dahulu daripada anak-anakku. Satu hari kerana kesibukan pekerjaanku sehingga ke petang, baru aku dapat pulang. Aku dapati kedua orang tuaku sudah tidur. Seperti biasa aku terus memerah susu. Aku letakkan susu tersebut di dalam sebuah bejana. Aku berdiri di hujung kepala kedua orang tuaku, namun aku tidak sanggup membangkitkan mereka dari tidur yang nyenyak. Aku juga tidak sanggup memberi anak-anakku minum terlebih dahulu sebelum kedua orang tuaku meminumnya, sekalipun mereka meminta-minta di hadapanku kerana lapar dahaga. Aku terus setia menunggui mereka dan mereka juga tetap pula tidur sampai ke pagi. Jika Engkau tahu apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keredaanMu, maka tolonglah aku dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini, sehingga kami boleh melihat langit. Disebabkan khidmat bakti tersebut Allah s.w.t berkenan menolong mereka dengan menggerakkan sedikit batu besar tersebut, sehingga mereka boleh melihat langit. Lelaki kedua pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku mampu memberikannya wang sebanyak seratus dinar. Untuk tujuan tersebut dengan susah payah akhirnya aku mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Aku membawa wang tersebut kepadanya. Sebaik sahaja aku ingin menyetubuhinya, dia berkata: Wahai hamba Allah! Takutlah kepada Allah. Janganlah kamu meragut kesucian ku kecuali dengan pernikahan terlebih dahulu. Mendengar kata-kata tersebut aku terus bangkit daripadanya serta membatalkan niat jahatku itu. Seandainya Engkau tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredaanMu, tolonglah kami dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini. Allah s.w.t berkenan menolong mereka di mana batu besar itu terbuka sedikit lagi. Lelaki ketiga pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku pernah mengupah seorang pekerja untuk menugal padi. Sebaik sahaja selesai melakukan pekerjaan, dia berkata: Berikan upahku. Namun aku enggan membayar upahnya. Dia terus menugal padi dan meminta lagi upahnya beberapa kali. Aku masih seperti biasa, enggan membayar upahnya dan terus mengupahnya menugal padi sehingga aku berjaya memiliki beberapa ekor lembu dan beberapa ekor anaknya. Suatu hari lelaki tadi datang kepadaku dan berkata: Takutlah kamu kepada Allah. Kamu jangan lagi menzalimi aku dengan kewajipanku. Kemudian aku berkata kepadanya: Ambillah lembu itu serta anak-anaknya. Dia berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah mempermain-mainkan aku. Aku berkata: Aku tidak mempermain-mainkan kamu, tetapi ambillah lembu itu serta anak-anaknya. Sehingga akhirnya dia mengambil lembu tersebut. Seandainya Engkau tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredaanMu, tolonglah kami dari kesulitan yang tinggal hanya sedikit lagi. Akhirnya Allah pun menolong mereka dengan menggerakkan batu besar yang menutupi gua tempat di mana mereka berteduh.

Dibolehkan Mengambil Atau Menerima Daripada Orang Yang Memberi Tanpa Meminta minta Dan Tidak Berlaku Tamak

 Hadis Umar bin Al-Khattab r.a katanya: 
Pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w memberikan sesuatu kepada aku, lalu aku berkata: Berikanlah kepada orang yang lebih memerlukannya berbanding dengan diriku. Pada kali yang berikutnya baginda memberikan wang kepada aku. Aku berkata: Berikanlah kepada orang yang lebih memerlukannya berbanding dengan diri aku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah! Apa jua pun harta yang didatangkan kepadamu sedangkan kamu tidak merasa tamak dan tidak meminta-minta. Oleh itu ambillah sekiranya kamu tidak merasa begitu dan janganlah engkau biarkan nafsumu mengikutinya.

December 27, 2011

Solat sunat menampung solat fardu


Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solat, jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya? ”Demikianlah keadaan semua amal yang lain dihisab.” (HR At-Tirmizi r.a.)


Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan diperiksa pada hari akhirat ialah solatnya, berkata Tuhan kepada malaikat pada hal Dia Maha Mengetahui: Periksalah pada solat hamba-Ku sama ada dia menyempurnakannya atau tidak, kalau didapati dia telah menyempurnakan solatnya, maka tuliskanlah dengan sempurna, sebaliknya apabila didapati solat yang dilakukan tidak sempurna maka Allah berfirman yang bermaksud: “Lihatlah kalau hamba-Ku itu ada melakukan solat sunat? Kalau ada solat sunat yang dilakukannya maka Allah berfirman lagi, sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian semua amalannya yang lain diterima kerana kesempurnaan solatnya.” (HR Abu Daud)

December 26, 2011

Golongan Khawarij Dan Sifat sifat Mereka

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w di Ja'ranah setelah kembali dari Peperangan Hunain. Pada pakaian Bilal terdapat perak dan Rasulullah s.a.w mengambil darinya untuk dibahagikan kepada orang ramai. Lelaki yang datang itu berkata: Wahai Muhammad! Kamu hendaklah berlaku adil. Rasulullah s.a.w bersabda: celakalah kamu! Siapa lagi yang lebih berlaku adil? Jika aku tidak adil. Pasti kamu yang rugi, jika aku tidak berlaku adil. Umar bin Al-Khattab r.a berkata: Biarkan aku membunuh si munafik ini, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berlindung dengan Allah dari kata-kata manusia bahawa aku membunuh sahabatku sendiri. Sesungguhnya orang ini dan teman-temannya membaca Al-Quran tetapi tidak melampaui kerongkong mereka iaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka menyudahi bacaan Al-Quran sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. 

Galakan Supaya Membaca Qunut Setiap Waktu Sembahyang Apabila Berlaku Musibah Terhadap Kaum Muslimin


Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang telah membunuh para sahabat di Telaga Ma'unah selama tiga puluh pagi. Baginda juga mendoakan supaya ditimpa kecelakaan kepada Bani Ri'lin, Bani Zakwan, Bani Lihyan dan Bani Usaiyah serta orang yang mendustai Allah dan RasulNya.



December 25, 2011

Disunatkan Berlari lari Anak Ketika Tawaf Umrah Dan Tawaf Pertama Dalam Ibadat Haji

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Abu At-Tufail r.a katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah pendapatmu mengenai berlari-lari anak ketika Tawaf di Baitullah sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Adakah ianya sunat? Sesungguhnya kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat. Ibnu Abbas r.a menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apakah maksud ucapanmu mereka benar dan juga bohong? Dia menjawab: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Mekah, orang-orang Musyrikin mengatakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya tidak mampu untuk melakukan Tawaf di Baitullah kerana kurus. Mereka berhasad dengki terhadap baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabatnya untuk berlari-lari anak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Aku bertanya lagi: Ceritakan kepadaku tentang Saie di antara Safa dan Marwah dengan menaiki kenderaan. Adakah ia sunat kerana kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat? Beliau menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apa pula maksud ucapanmu mereka benar dan mereka juga bohong itu? Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh orang ramai dan mereka berkata: Ini Muhammad! Ini Muhammad! Sehinggalah keluar wanita-wanita remaja dari rumah mereka. Tetapi Rasulullah s.a.w hanya diam saja. Setelah orang yang mengelilingi baginda semakin ramai baginda pun menaiki kenderaannya dan meneruskan Saie dengan lebih selesa.

Firman Allah وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى Yang bermaksud: Dan Sesungguhnya Muhammad Telah Melihatnya Lagi Pada Waktu Yang Lain Dan Adakah Nabi s.a.w Melihat Tuhannya Pada Malam Israk?

 Hadis Saidatina Aisyah r.a: 
Diriwayatkan daripada Masruq r.a katanya: Ketika aku duduk bersandar berhampiran dengan Aisyah, Aisyah berkata: Wahai Abu Aisyah iaitu Masruq! Ada tiga perkara, sesiapa yang memperkatakan salah satu daripadanya bererti dia telah melakukan pembohongan yang amat besar terhadap Allah s.w.t. Aku bertanya: Apakah tiga perkara itu? Aisyah menjawab: Pertama: Sesiapa yang mendakwa bahawa Muhammad s.a.w melihat Tuhannya bermakna besarlah pembohongannya terhadap Allah s.w.t. Aku yang duduk bersandar dari tadi mula duduk dengan baik lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Dengarlah kata-kataku ini terlebih dahulu, bukankah Allah s.w.t telah berfirman وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ Yang bermaksud: Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan kerana demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. Firman Allah lagi وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى Yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. Kemudian Aisyah berkata: Akulah orang yang pertama bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini dari kalangan umat ini. Baginda telah menjawab dengan bersabda: Aku tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya kecuali dua kali sahaja iaitu semasa dia turun dari langit dalam keadaan yang terlalu besar sehingga memenuhi di antara lagit dan bumi. Kemudian Aisyah berkata lagi: Adakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ Yang bermaksud: Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat dan mengetahui hakikat segala penglihatan mata dan Dialah Yang Maha Bersifat Lemah Lembut dalam melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. Atau adakah engkau tidak pernah mendengar firman Allah وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ Yang bermaksud: Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu dengan diberi ilham atau mimpi atau dari sebalik dinding dengan mendengar suara sahaja atau dengan mengutuskan utusan Malaikat lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi Keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana. Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w telah menyembunyikan sesuatu dari kitab Allah, maka ketahuilah sesungguhnya dia adalah pendustaan yang paling besar terhadap Allah, sebagaimana firman Allah يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُYang bermaksud: Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya dengan menyampaikan semuanya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya. Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa baginda menceritakan perkara yang berlaku pada besok harinya, maka ketahuilah dia merupakan suatu pendustaan yang besar terhadap Allah, sebagaimana firman-Nya قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُYang bermaksud: Katakanlah lagi, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.