Search This Blog

Pages

September 11, 2011

mimpi

Hadis Abu Hurairah r.a:
Dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Apabila Kiamat semakin dekat, mimpi seorang muslim hampir tidak dusta. Mimpi salah seorang di antara kamu yang paling dekat dengan kebenaran adalah mimpi orang yang paling jujur dalam berbicara. Mimpi seorang muslim adalah satu daripada empat puluh lima bahagian kenabian. Mimpi itu sendiri terbahagi kepada tiga aspek iaitu: Mimpi baik, adalah khabar gembira yang datang dari Allah. Mimpi sedih, adalah mimpi yang datang dari syaitan. Kemudian mimpi yang datang dari bisikan diri sendiri, iaitu jika salah seorang di antara kamu bermimpi yang tidak menyenangkan, maka hendaklah beliau bangun dari tidur lalu mendirikan sembahyang dan dikehendaki jangan beliau ceritakan mimpi tersebut kepada manusia. Baginda bersabda lagi: Aku sangat menyukai seutas tali dan tidak menyukai sebuah belenggu. Tali adalah lambang keteguhan dalam beragama. Akan tetapi aku tidak tahu apakah yang terakhir ini adalah termasuk Hadis atau sekadar ucapan Ibnu Sirin sahaja.

September 10, 2011

Memuliakan Tetamu Dan Kelebihan Mendahulukannya

Hadis Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a:
Orang yang disebut sebagai Ashaab As-Suffah adalah orang-orang miskin. Rasulullah s.a.w pernah bersabda suatu ketika: Sesiapa mempunyai makanan untuk dua orang, dia hendaklah mengajak orang yang ketiga dan sesiapa mempunyai makanan untuk empat orang, dia hendaklah mengajak orang kelima, keenam atau seperti diriwayatkan dalam Hadis lain. Abu Bakar r.a datang dengan tiga orang. Nabi pula pergi dengan sepuluh orang dan Abu Bakar dengan tiga orang iaitu aku, ibu dan bapaku. Tetapi aku tidak pasti adakah dia berkata: Isteriku dan khadamku berada di antara rumah kami dan rumah Abu Bakar. Abdul Rahman berkata lagi: Abu Bakar makan malam bersama Nabi s.a.w dan terus berada di sana sehinggalah waktu Isyak. Selesai sembahyang, dia kembali ke tempat Nabi s.a.w lagi, sehinggalah Rasulullah s.a.w kelihatan mengantuk. Sesudah lewat malam, barulah dia pulang. Isterinya menyusulinya dengan pertanyaan: Apa yang menghalang dirimu untuk pulang menemui tetamumu? Abu Bakar berkata: Bukankah engkau telah menjamu mereka makan malam? Isterinya menjawab: Mereka tidak mahu makan sebelum engkau pulang, padahal anak-anak sudah mempersilakan tetapi mereka tetap enggan. Akupun berundur untuk bersembunyi. Lalu terdengar Abu Bakar memanggil: Hai dungu! diikuti dengan sumpah-serapah. Kemudian dia berkata kepada para tetamunya: Silakan makan! Barangkali makanan ini sudah tidak enak lagi. Kemudian dia bersumpah: Demi Allah, aku tidak akan makan makanan ini selamanya! Abdul Rahman meneruskan ceritanya: Demi Allah, kami tidak mengambil satupun kecuali sisanya bertambah lebih banyak lagi, sehinggalah apabila kami sudah merasa kenyang, makanan itu menjadi bertambah banyak daripada yang sedia ada. Abu Bakar memandangnya ternyata makanan itu tetap seperti sedia atau bahkan lebih banyak lagi. Dia berkata kepada isterinya: Wahai saudara perempuanku! Bani Firas apakah ini? Isterinya menjawab: Tidak! Demi cahaya mataku, sekarang ini makanan tersebut bertambah tiga kali ganda lebih banyak daripada sedia. Lalu Abu Bakar makan dan berkata: Sumpahku tadi adalah dari syaitan. Dia makan satu suap, kemudian membawa makanan tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan membiarkannya di sana hingga pagi hari. Pada waktu itu di antara kami (kaum Muslimin) dengan suatu kaum akan dilangsungkan satu perjanjian. Apabila tiba waktunya, kamipun menjadikan dua belas orang sebagai ketua saksi, masing-masing mengepalai beberapa orang. Hanya Allah yang tahu berapa orangkah sebenarnya yang diutuskan bersama mereka. Cuma yang pastinya Rasulullah s.a.w memerintah agar dipanggilkan mereka kesemuanya. Lalu kesemuanya makan dari makanan yang dibawa oleh Abu Bakar atau sebagaimana yang diriwayatkan dalam riwayat yang lain.

September 9, 2011

Banyak ganjaran untuk orang yang sembahyang berjamaah

Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak melihat beberapa orang sahabatnya dalam beberapa waktu sembahyang jemaah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengambil berat untuk menyuruh seseorang supaya mendirikan sembahyang secara berjemaah bersama orang ramai. Kemudian aku pergi kepada beberapa orang yang tidak mendirikan sembahyang secara berjemaah. Lalu baginda menyuruh supaya membakar rumah mereka dengan seikat kayu. Sekiranya salah seorang daripada mereka mengetahui bahawa dia akan mendapat segumpal daging yang gempal, pasti dia akan mendirikan sembahyang itu iaitu sembahyang Isyak.

Sesungguhnya amalan kebajikan khususnya sembahyang akan menghapuskan kejahata

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a:
Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu lelaki tersebut datang berjumpa Nabi s.a.w dan memberitahu kepada baginda perihal tersebut. Baginda bersabda: Lalu diturunkan ayat 4أَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ Yang bermaksud: Dirikanlahsembahyang wahai Muhammad (engkau dan umatmu) pada waktu pagi, petang dan sebahagian dari waktu malam. Sesungguhnya amalan kebajikan khususnya sembahyang akan menghapuskan kejahatan. Perintah Allah tersebut adalah merupakan peringatan bagi orang yang sentiasa mengingati Allah. Abdullah berkata: Lelaki tersebut bertanya: Adakah ayat ini diturunkan untukku wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Untuk sesiapa sahaja dari kalangan umatku yang melakukannya.

Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur

Hadis Aisyah r.a katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang baginda berdiri hingga pecah-pecah telapak kakinya. Aisyah r.a berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa engkau lakukan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampunkan segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Wahai Aisyah Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!.

September 8, 2011

Syirik,Kebanggaan dan Pelita hidayah

by Jamil Md Noh
1)  Dari Umar bin Khattab (r.a) meriwayatkan bahawa beliau pada suatu hari pergi ke Masjid Nabawi. Maka beliau telah melihat Hadhrat Muaz sedang duduk berhampiran pusara Nabi dan Menangis. Umar telah bertanya mengapakah kamu menangis?  Beliau telah menjawab : Aku menangis di sebabkan satu sabdaan yang telah aku dengar daripada Rasulullah s.a.w . Beliau telah bersabda: Menunjuk-nunjuk walaupun sedikit adalah syirik. Dan sesiapa memusuhi mana-mana kekasih Allah, dia telah mengajak Allah berperang. Sesungguhnya Allah menyukai  orang-orang yang baik, bertakwa dan tidak terkenal, yang bilamana mereka tiada , mereka tidak akan dicari dan bilamana mereka ada, mereka tidak dikenali. Hati-hati mereka adalah pelita hidayah yang bercahaya. Mereka (kerana cahaya hati mereka akan menyelamatkan Agama mereka dan ) keluar dari ributan fitnah.(HR ibnu majah)  ...

2)  Dari Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah(s.a.w) telah bersabda: Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-bangga keatas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama  - walaupun dengan cara yang halal-  Dia akan bertemu Allah dalam keadaan Allah sangat murka terhadapnya.  Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal  bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga ; maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah  dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama. (HR Baihaqi)

Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyang dan zakat

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Sayidina Abu Bakar r.a terus memegang teraju pemerintahan sebagaimana yang diamanahkan oleh baginda s.a.w. Keadaan ini menyebabkan beberapa kelompok masyarakat Arab bertukar kembali menjadi kafir. Sayidina Umar r.a bertanya Sayidina Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi manusia sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali apa yang dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya. Abu Bakar menjawab: Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyang dan zakat kerana zakat merupakan tuntutan terhadap harta. Demi Allah, andai-kata mereka enggan membayar zakat tersebut sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka.

September 7, 2011

Besar ganjaran pahala bagi orang yang membantu orang miskin dan para janda

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Orang yang berusaha untuk membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti.

September 6, 2011

Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu

Hadis Umar bin Auf r.a:
Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain. Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Al-Ala' bin Al-Hadhrami untuk mengutip Jizyah dari penduduk Bahrain. (Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta Jizyah. Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w. Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada Baginda. Rasulullah s.a.w senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian Baginda bersabda: Aku kira kamu semua (Orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu. Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kamu (dengan wang ini). Demi Allah. Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.

Sembahyang menghapuskan dosa

Hadis Anas r.a katanya:
Seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud, oleh itu hukumlah aku. Anas berkata: Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang lelaki tersebut turut mendirikan sembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Setelah selesai sembahyang lelaki tadi berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud. Oleh itu hukumlah aku sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran. Baginda bersabda: Adakah kamu mendirikan sembahyang bersama-sama kami? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu telah diampunkan oleh Allah s.w.t.

......................................................................................................................................................................
Firman Allah s.w.t: إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَات