Search This Blog

Pages

January 31, 2011

Solat Dalam Kenderaan


Diriwayatkan daripada Jabir r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah).”
(Al-Bukhari)
Huraian:
Islam mewajibkan kita melakukan solat malah haram ke atas kita meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak. Sekiranya kita berada dalam musafir sekalipun kita juga diwajibkan solat.
Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang telah digariskan termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan sama ada kereta, perahu, kapal selam, kapal terbang mahupun dalam kapal angkasa.
Dalil yang membolehkannya selain daripada hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar r.a. Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW :”Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu ? Nabi SAW menjawab: Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil keharusan bersolat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenis tersebut kerana ia bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan seperti mana Nabi SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas binatang tunggangan mereka. Baginda memberi isyarat yang sujud lebih rendah daripada rukuk. Solat sebegini adalah sah jikalau benar-benar menghadapi kesukaran.

January 30, 2011

Persediaan Sebelum Tidur



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: “Daripada ‘Aisyah r.a katanya: “Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

January 29, 2011

Ucapan Yang Baik Dibalas Dengan Yang Lebih Baik


Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”
(Muslim)
Huraian:
Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.

January 28, 2011

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati


Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”
Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim
Huraian:
  • Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
  • Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
  • Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

January 27, 2011

Berpegang pada sunnah Rasulullah saw



Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT, dengan mendengar dan taat, meskipun yang memerintahkan kamu adalah seorang budak dari Habsyah. Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bid’ah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.” 
(0040) Sahih Ibnu Majah

January 26, 2011

Berdusta dengan nama Nabi Muhammad masuk neraka


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka.”

January 25, 2011

Kesabaran Seorang Nabi dan Rasul

Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”
(Bukhari)
Huraian:
Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.
Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.
Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

January 24, 2011

Maut Pun Disembelih



Diriwayatkan dari Abu Sa'id Al Khudri ra. :
Rasulullah Saw pernah bersabda, "pada hari kiamat, maut akan dibawa maju ke depan dalam bentuk biri-biri jantan berwarna hitam dan putih. kemudian sang penyeru akan memanggil, 'wahai para penghuni surga'. mereka akan memutar leher mereka dan melihat dengan hati-hati. yang memanggil akan berkata, 'tahukah kalian apa ini?' mereka berkata,'ya. Maut'. pada saat itu mereka semua dapat melihatnya.
kemudian akan diumumkan kembali, 'wahai para penghuni neraka!'. mereka akan memutar leher mereka dan melihat dengan hati-hati. yang memanggil akan berkata, 'tahukah kalian apa ini?' mereka akan berkata, 'ya. Maut'. dan pada saat itu mereka dapat melihatnya.
kemudian biri-biri jantan itu akan disembelih dan sang penyeru akan berkata, 'wahai penghuni surga! keabadian (untuk kalian) dan tak ada kematian. wahai penghuni neraka! keabadian (untuk kalian) dan tak ada kematian'".
kemudian Nabi Saw membacakan ayat berikut : Berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, ketika segala perkara diputuskan. mereka dalam kelalaian dan mereka tidak pula beriman. (QS. Maryam [19]:39)

Syafaat Nabi Muhammad Saw

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. : Rasulullah Saw pernah bersabda, "untuk setiap nabi ada doa (khusus) yang dikabulkan Allah dan aku akan menyimpannya sebagai syafa'ah untuk umatku di akhirat".

January 23, 2011

Wasiat Nabi


Ubadah bin Somit r.a telah berkata, Kekasihku Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepadaku tujuh perkara.
Sabda Baginda s.a.w, " Janganlah menyengutukan Allah dengan sesuatu apapun, walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar atau disalib. Jangan meninggalkan Solat dengan sengaja, kerana sesiapa meninggalkan Solat dengan sengaja akan terkeluar daripada agama Islam. Jangan melakukan maksiat, kerana perbuatan itu akan menyebabkan kemurkaan Allah dan jangan minum arak, kerana perbuatan ini adalah ibu segala maksiat.?
( H.R Imam Tabrani )