Search This Blog

Pages

January 19, 2012

Bacaan Ketika Rukuk dan Sujud

 Hadis Aisyah r.a katanya: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika rukuk dan sujud, baginda biasanya memperbanyakkan bacaan: 


سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي 


Baginda melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran.

Penyelarasan Di Antara Rukun rukun Sembahyang dan Meringankannya Tanpa Mencacatkan Sembahyang

 Hadis Anas r.a katanya: 
Sesungguhnya aku tidak akan mempercepatkan sembahyang jika aku mengimami kamu sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w mengimami kami. Thabit iaitu salah seorang perawi berkata: Anas melakukan sesuatu yang tidak pernah aku melihat kamu semua melakukannya. Apabila beliau mengangkat kepala dari rukuk, maka beliau berdiri tegak sehingga ada yang berkata dia telah lupa dan jika beliau mengangkat kepala dari sujud, maka dia diam sehingga ada yang berkata dia telah lupa.

Penyelarasan Di Antara Rukun rukun Sembahyang dan Meringankannya Tanpa Mencacatkan Sembahyang


Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya: 
Aku mengamati sembahyangku bersama Muhammad s.a.w. Maka aku mendapati baginda berdiri, rukuk, bangkit sesudah rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.


January 18, 2012

Makmum Mengikuti Imam

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca 
سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ 
dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.

Zaman Iman Tidak Lagi Diterima

 Hadis Abu Zar r.a: 
Suatu Hari Nabi s.a.w bersabda: Tahukah kamu ke mana matahari ini pergi? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Perjalanan matahari ini berakhir di suatu tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu merebahkan diri untuk bersujud. Ia tetap berada dalam keadaan tersebut, sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kemudiannya kembali sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa. Matahari terus beredar lagi sehingga sampai di suatu tempat yang ditetapkan di bawah Arasy lalu merebahkan lagi dirinya untuk bersujud. Ia juga tetap berada dalam keadaan demikian sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kembali lagi sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa tanpa diketahui oleh manusia dan berakhir pada tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu bersujud dan tetap dalam keadaan demikian, sehinggalah akhirnya diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan terbitlah dari sebelah barat. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Tahukah kamu bilakah ianya akan berlaku? Ianya akan berlaku ketika mana
 لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا 
Yang bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelumnya atau tidak berusaha melakukan kebaikan terhadap imannya.

January 16, 2012

SIFAT ORANG MUNAFIK DAN HUKUM MEREKA

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman bin Auf katanya: Bahawa Marwan berkata kepada penjaga pintunya: Wahai Rafi'! Pergilah kepada Ibnu Abbas dan katakanlah: Sekiranya setiap orang di antara kita diseksa kerana bergembira terhadap apa yang diperolehi dan suka dipuji terhadap apa yang tidak dilakukan, nescaya kita semua turut akan diseksa. Ibnu Abbas berkata: Kenapakah kamu ni? Ayat ini diturunkan kepada Ahli Kitab. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat � Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya, ini satu ayat. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat �Yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, terselamat dari seksa. Seterusnya Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w bertanya kepada mereka, tetapi mereka menyembunyikannya malah memberikan jawapan lain. Kemudian mereka keluar dengan perasaan telah memberitahu apa yang ditanyakan kepada mereka. Mereka berharap mendapat pujian terhadap jawapan tersebut serta bergembira dengan tipu helah mereka.

SIFAT ORANG MUNAFIK DAN HUKUM MEREKA

 Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: 
Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat � Yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari seksa.

Kemurkaan Allah s.w.t Dan Larangan Melakukan Perbuatan Keji

 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorangpun yang lebih suka kepada pujian selain daripada Allah s.w.t, kerana itulah Dia memuji Zat-Nya sendiri. Begitu juga tidak ada seorangpun yang lebih marah daripada Allah s.w.t itulah sebabnya Dia mengharamkan perbuatan keji.

Haram Memberi Hadiah Kepada Pegawai atau Petugas

 Hadis Abu Humaid As-Saaidi r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah memberi tugas kepada seorang lelaki dari Kaum Al-Asad yang dikenali sebagai Ibnu Lutbiyah. Mengikut Amru dan Ibnu Abu Umar adalah untuk urusan sedekah. Setelah kembali dari menjalankan tugasnya, lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah s.a.w: Ini untuk baginda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepadaku. Setelah mendengar kata-kata tersebut, lalu Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar. Setelah mengucapkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Adakah patut seorang petugas yang aku kirim untuk menguruskan suatu tugas berani berkata: Ini untuk anda dan ini pula untukku kerana sememangnya ia akan dihadiahkan kepadaku? Bukankah dia duduk di rumah bapa atau ibunya (tanpa memegang sebarang jawatan) dan perhatikan adakah dia akan dihadiahkan sesuatu atau tidak. Demi Zat Muhammad yang berada di dalam kekuasaan Allah, jika salah seorang di antara kamu yang mendapat sesuatu dari hasil sedekah, maka pada Hari Kiamat kelak dia akan datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh atau seekor lembu atau seekor kambing yang mengembek di atas tengkuknya. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya tinggi-tinggi sehingga ternampak kedua ketiaknya yang putih dan bersabda: Ya Allah! Bukankah aku telah sampaikannya sebanyak dua kali.

Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Ketika Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berkenan membuka Kota Mekah untuk Rasulullah s.a.w, baginda berdiri di hadapan manusia. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allah telah berkenan melindungi Kota Mekah dari serangan tentera bergajah dan mengizinkan kepada Rasul-Nya dan orang Mukmin menguasai Kota tersebut. Sesungguhnya dalam Kota Mekah tidak dihalalkan kepada sesiapapun sebelum atau sesudahku. Aku sendiri pun hanya dihalalkan seketika sahaja pada waktu siang hari. Binatang buruan dalam Kota itu juga tidak boleh dibunuh. Begitu juga pokok-pokok tidak boleh ditebang, barang yang ditemui juga tidak boleh diambil, kecuali orang yang ingin mengumumkan. Sesiapa yang dibunuh, maka wali atau keluarganya boleh membuat dua pilihan, samada mahu menuntut diat atau bunuh balas. Abu Abbas r.a bertanya: Adakah izkhir (sejenis tumbuhan berbau harum) terkecuali wahai Rasulullah? Kerana itu izkhir (sejenis tumbuhan berbau harum) boleh digunakan untuk keperluan kubur dan rumah kita. Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Kecuali rumput lalang. Tiba-tiba seorang lelaki dari penduduk Yaman bernama Abu Syah berdiri dan berkata: Tulislah untukku wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Tuliskanlah untuk Abu Syah.