Search This Blog

Pages

January 16, 2012

Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya


Hadis Abu Syuraih Al-Adawi r.a: 
Sesungguhnya beliau pernah berkata kepada Amru bin Said, yang telah mengutus beberapa orang utusan ke Mekah: Izinkan aku wahai Amir! Untuk menceritakan kepada kamu satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah. Aku mendengar sendiri sabda baginda dengan kedua telinga aku, dengan hati yang khusyuk dan dengan kedua pasang mata aku terus menatap baginda. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allahlah yang mengharamkan Mekah, bukan manusia yang mengharamkannya. Maka diharamkan bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat menumpahkan darah di Kota Mekah atau memotong pokok-pokok di dalamnya. Jika ada seseorang yang mempersoalkan keringanan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini, katakan saja kepada mereka; sesungguhnya Allah memang mengizinkan kepada Rasul-Nya tetapi tidak mengizinkannya kepada kamu. Sebenarnya aku sendiri pun hanya diizinkan seketika sahaja di waktu siang hari kemudian kembali diharamkan. Pengharaman yang berlaku hari ini adalah sebagaimana sebelumnya. Jadi, hendaklah orang yang hadir iaitu menyaksikan, menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir.


Doa Yang Dibaca Ketika Pulang Dari Musafir Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya


Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari ketenteraan, peperangan kecil-kecilan, mengerjakan Haji atau dari mengerjakan Umrah, baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali dan berdoa apabila baginda tiba di lembah-lembah atau lereng-lereng bukit dengan doa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ سَاجِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ 
Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala puji. Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kami pulang, bertaubat, mengabdi, bersujud dan kami memuji kepada Tuhan kami. Allah telah menepati janji-Nya, menolong hambaNya dan mengalahkan dengan sendiri pasukan-pasukan yang bersekutu.


Orang Yang Bersedekah Tetap Diganjarkan Walaupun Sedekahnya Sampai Ke Tangan Orang Yang Tidak Berhak Menerimanya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Seorang lelaki berkata: Aku akan memberikan sedekah pada malam ini. Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya di tangan seorang perempuan yang berzina iaitu pelacur. Keesokannya orang ramai mula memperkatakan mengenai perempuan tersebut yang telah diberikan sedekah pada malam tadi. Lelaki itu berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian! Sedekahku telah aku berikan kepada wanita yang berzina. Aku akan bersedekah lagi, lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya di tangan orang kaya. Keesokan harinya orang ramai mula memperkatakan mengenai seorang kaya yang telah diberikan sedekah. Lelaki itu berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian. Sedekahku telah aku berikan kepada seorang yang kaya. Aku akan bersedekah lagi, lantas dia keluar dengan membawa sedekah dan meletakkannya di tangan seorang pencuri. Esoknya orang ramai mulai bercakap-cakap mengenai seorang pencuri telah diberikan sedekah. Dia berkata: Wahai Tuhanku! Hanya buatMu segala puji-pujian! Sedekahku telah aku berikan kepada seorang perempuan zina, pada orang kaya dan pada pencuri. Lalu dia didatangi seseorang dan dikatakan kepadanya: Sedekahmu benar-benar telah diterima. Boleh jadi perempuan zina itu berhenti dari berzina kerana sedekahmu. Orang kaya itu pula dapat mengambil pengajaran dan mahu membelanjakan sebahagian dari harta yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya dan mungkin juga pencuri itu akan berhenti dari mencuri kerana sedekahmu itu.

Tentang Orang Mati Yang Dipuji Dengan Kebaikan Atau Dicela Dengan Keburukan

 Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik iaitu semasa hidupnya, maka Nabi s.a.w pun bersabda mengenainya: Wajib, wajib, wajib. Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi s.a.w pun bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya Syurga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya Neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi.

Berdoa Ketika Sembahyang Malam

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa: 
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيَّامُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَأَخَّرْتُ وَأَسْرَرْتُ وَأَعْلَنْتُ أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ 
Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.

Galakan Supaya Membaca Qunut Setiap Waktu Sembahyang Apabila Berlaku Musibah Terhadap Kaum Muslimin

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Setelah selesai membaca surah dalam sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bertakbir dan mengangkat kepalanya lalu berkata: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ Yang bermaksud: Semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya. Ya Allah! Tuhan kami, hanya bagiMu segala puji. Dalam keadaan masih berdiri baginda berdoa:
 اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ كَسِنِي يُوسُفَ اللَّهُمَّ الْعَنْ لِحْيَانَ وَرِعْلًا وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ عَصَتِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ 
Yang bermaksud: Ya Allah! Selamatkanlah Al-Walid bin Al-Walid, Salamah bin Hisyam dan Ayyasy bin Abu Rabi'ah serta orang-orang mukmin yang lemah. Ya Allah! Timpakanlah seksaMu ke atas Bani Mudhar Timpakan seksaan itu atas mereka sebagaimana yang pernah Yusuf menderita kesengsaraan. Ya Allah! Kutuklah Bani Lihyan, Bani Ri'lan, Bani Zakwan dan Bani Usaiyah. Mereka juga mendustai Allah dan Rasul-Nya. Kemudian aku dengar bahawa beliau meninggalkan perkara itu sewaktu turun firman Allah لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ Yang bermaksud: Tidak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Galakan Supaya Berzikir Selepas Sembahyang Serta Cara caranya

 Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a: 
Diriwayatkan daripada Warrad bekas hamba Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Al-Mughirah bin Syu'bah telah menulis surat kepada Muawiah, bahawa Rasulullah s.a.w setiap kali selesai dari sembahyang dan memberi salam, baginda berzikir dengan berkata:


 لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ 


Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya, bagiNya segala kekuasaan, hanya bagiNya segala pujian. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah! Tidak ada siapa yang boleh menghalangi apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau tegah dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripadaMu.

January 15, 2012

Membaca Tasbih Pada Waktu Pagi Dan Ketika Ingin Tidur

 Hadis Sayidina Ali k.w:
Saidatina Fatimah r.a mengeluh sambil mengilas tangannya. Waktu itu beliau mendengar Nabi s.a.w mendapat seorang tawanan yang boleh dijadikan sebagai khadam. Saidatina Fatimah r.a pergi menemui Nabi s.a.w namun beliau tidak menemui baginda, cuma berjumpa Saidatina Aisyah r.a dan menceritakan maksud kedatangannya. Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Saidatina Aisyah r.a terus menceritakan kepada baginda mengenai kedatangan Saidatina Fatimah r.a. Nabi s.a.w kemudiannya pergi menemui kami. Waktu itu kami sedang berada di tempat tidur, kami bangkit untuk menemui baginda lalu baginda bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Baginda seterusnya duduk di antara kami sehinggalah aku reda dari memarahinya kemudian baginda bersabda: Inginkah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan kamu? Apabila kamu berada di tempat tidur masing-masing, kamu hendaklah membaca takbir اللَّهُ اَكْبَر sebanyak tiga puluh empat kali, tasbih سُبْحَانَ اللَّه sebanyak tiga puluh tiga kali dan tahmid الحَمْدُ لِلَّه sebanyak tiga puluh tiga kali. Semuanya itu adalah terlebih baik dari seorang khadam 

Kelebihan Majlis majlis Zikir

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.

Larangan Membunuh Semut

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?.