Search This Blog

Pages

January 16, 2012

Galakan Supaya Berzikir Selepas Sembahyang Serta Cara caranya

 Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a: 
Diriwayatkan daripada Warrad bekas hamba Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Al-Mughirah bin Syu'bah telah menulis surat kepada Muawiah, bahawa Rasulullah s.a.w setiap kali selesai dari sembahyang dan memberi salam, baginda berzikir dengan berkata:


 لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ 


Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya, bagiNya segala kekuasaan, hanya bagiNya segala pujian. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah! Tidak ada siapa yang boleh menghalangi apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau tegah dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripadaMu.

January 15, 2012

Membaca Tasbih Pada Waktu Pagi Dan Ketika Ingin Tidur

 Hadis Sayidina Ali k.w:
Saidatina Fatimah r.a mengeluh sambil mengilas tangannya. Waktu itu beliau mendengar Nabi s.a.w mendapat seorang tawanan yang boleh dijadikan sebagai khadam. Saidatina Fatimah r.a pergi menemui Nabi s.a.w namun beliau tidak menemui baginda, cuma berjumpa Saidatina Aisyah r.a dan menceritakan maksud kedatangannya. Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Saidatina Aisyah r.a terus menceritakan kepada baginda mengenai kedatangan Saidatina Fatimah r.a. Nabi s.a.w kemudiannya pergi menemui kami. Waktu itu kami sedang berada di tempat tidur, kami bangkit untuk menemui baginda lalu baginda bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Baginda seterusnya duduk di antara kami sehinggalah aku reda dari memarahinya kemudian baginda bersabda: Inginkah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan kamu? Apabila kamu berada di tempat tidur masing-masing, kamu hendaklah membaca takbir اللَّهُ اَكْبَر sebanyak tiga puluh empat kali, tasbih سُبْحَانَ اللَّه sebanyak tiga puluh tiga kali dan tahmid الحَمْدُ لِلَّه sebanyak tiga puluh tiga kali. Semuanya itu adalah terlebih baik dari seorang khadam 

Kelebihan Majlis majlis Zikir

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.

Larangan Membunuh Semut

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?.

Kelebihan Sembahyang Subuh Dan Asar Serta Menjaga Kedua duanya

 Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya: 
Ketika kami duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba baginda memandang kepada bulan purnama pada malam peperangan Badar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Tuhanmu sebagaimana kamu melihat bulan purnama ini, tiada halangan semasa kamu melihatNya iaitu akan dapat melihat Allah dengan jelas sekiranya kamu mampu, maka janganlah kamu lalai dari mendirikan sembahyang sebelum terbit Matahari dan sebelum terbenam Matahari, iaitu sembahyang Asar dan sembahyang Subuh. Kemudian Jarir membaca firman Allah وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوْبِهَا Yang bermaksud: Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit dan terbenam matahari.

Galakan Supaya Berzikir Selepas Sembahyang Serta Cara caranya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Sesungguhnya orang-orang miskin dari golongan muhajirin telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Orang-orang kaya mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat-nikmat yang kekal. Rasulullah bertanya: Apa itu? Mereka menjawab: Mereka bersembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sementara kami tidak mampu memerdekakannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu. Mereka menjawab: Tentu saja, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu bertasbih سُبْحَانَ اللَّهُ bertakbir اللَّهُ أَكْبَرُ dan bertahmid الحَمْدُ لِلَّهِ setiap kali setelah selesai dari sembahyang sebanyak tiga puluh tiga kali.

Membaca Tasbih Bagi Lelaki Dan Menepuk Tangan Bagi Wanita Jika Mereka Mengalami Sesuatu Ketika Sembahyang

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membaca tasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk wanita.

Jemaah Menampilkan Seseorang Untuk Mengimami Mereka Apabila Imam Yang Tetap Terlewat Datang Dan Mereka Tidak Bimbang Akan Berlaku Kecacatan Disebabkan Oleh Penampilan Tersebut


Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: 
Sewaktu Rasulullah s.a.w mengunjungi Bani Amru bin Auf untuk mendamaikan pertikaian di antara mereka, maka tiba waktu sembahyang. Seorang tukang azan datang kepada Abu Bakar lalu berkata: Inginkah kamu mengimami sembahyang bersama orang ramai? Aku akan mengiqamatkannya. Abu Bakar menjawab: Ya. Kemudian Abu Bakar mendirikan sembahyang. Sewaktu orang ramai sedang sembahyang, Rasulullah s.a.w datang. Baginda menyelinap masuk ke saf pertama. Setelah melihat keadaan itu, orang ramai menepuk tangan, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Apabila orang yang menepuk tangan bertambah ramai, beliau menoleh dan melihat Rasulullah s.a.w. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap berada di tempatnya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya memuji Allah s.w.t sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w lalu Abu Bakar berundur ke belakang sehingga menyamai dengan saf pertama dan Nabi s.a.w pula maju ke hadapan lalu meneruskan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda: Wahai Abu Bakar! Apakah yang mencegahmu untuk tetap berada di tempatmu ketika aku menyuruhmu? Abu Bakar menjawab: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah sembahyang di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda lagi: Mengapa kamu semua menepuk tangan? Sesiapa yang mengalami sesuatu ketika sembahyangnya maka hendaklah dia bertasbih kerana apabila seseorang bertasbih dia akan menoleh. Menepuk tangan hanyalah untuk wanita.


January 13, 2012

Diharamkan Dengki Mendengki, Benci Membenci Dan Sindir Menyindir

 Hadis Anas bin Malik r.a: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.

Antara Kelebihan Abu Zar r.a

 Hadis Abu Zar r.a katanya: 
Kami keluar dari kaum kami Ghifar. Mereka telah menghalalkan bulan haram. Aku keluar bersama saudaraku Unais serta ibuku. Kami berhenti di rumah bapa saudara kami. Beliau menghormati dan berbuat baik kepada kami, tetapi kaumnya dengki kepada kami dan mereka menghasutnya. Kaumnya berkata: Sekiranya kamu meninggalkan keluargamu, maka Unais akan menentang mereka. Bapa saudaraku datang dan menceritakan apa yang telah dikatakan kepadanya. Aku berkata: Segala kebaikan kamu dahulu telah kamu rosakkannya sendiri dan kami tidak akan menemui kamu lagi. Kami terus menuju ke tempat unta dan melihat bapa saudara kami menangis sambil menutup wajahnya dan kemudian kami berangkat sehingga sampai ke Mekah. Setelah itu Unais mendahului kami dan beliau pergi menemui pendeta. Selepas itu Unais datang menemui kami lagi dengan unta kami dan seekor unta lain seperti untanya. Beliau berkata: Wahai saudaraku, aku telah sembahyang selama tiga tahun sebelum aku menemui Rasulullah s.a.w. Aku bertanya: Kamu sembahyang untuk siapa? Beliau menjawab: Untuk Allah. Aku bertanya lagi: Ke arah manakah kamu menghadap? Beliau menjawab: Aku menghadap ke arah Tuhanku, pernah aku sembahyang Isyak sehingga berakhirnya malam, aku terdampar seolah-olah aku tersembunyi, sehinggalah matahari memancar ke arahku. Unais berkata: Aku ada urusan di Mekah, oleh itu biarkan aku pergi. Maka berangkatlah Unais sehinggalah beliau sampai di Mekah. Setelah aku menunggunya agak lama, beliau kembali lagi kepadaku. Aku bertanya: Apakah yang kamu lakukan di sana? Beliau menjawab: Di Mekah aku berjumpa dengan seorang lelaki seagama denganmu yang mengaku bahawa beliau diutuskan oleh Allah. Aku bertanya: Apakah pandangan orang ramai tentangnya? Beliau menjawab: Mereka mengatakan bahawa lelaki itu adalah penyair, nujum dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau seorang ahli sihir. Manakala saudaraku Unais merupakan seorang penyair. Unais berkata: Sesungguhnya aku pernah mendengar kata-kata nujum. Aku dapati beliau tidak seperti yang mereka tuduh dan aku belum pernah mendengar syair seperti itu. Demi Allah, beliau seorang yang benar dan merekalah yang dusta. Maka aku berkata padanya: Tolong bawa aku ke sana, aku ingin melihatnya. Setibanya aku di Mekah, aku menemui lelaki yang paling lemah di kalangan mereka dan aku bertanya padanya: Di manakah orang yang kamu katakan kepadanya sebagai Saabi' iaitu yang keluar dari agama dan memeluk agama lain? Lelaki itu terus memberi isyarat padaku, dan berkata Saabi'. Setelah itu beliau dan penduduk di situ membaling aku dengan tanah dan tulang sehinggakan aku jatuh dan pengsan. Beberapa ketika kemudian aku sedar kembali dan aku dapati tubuhku berlumuran darah, lalu aku diberi air Zamzam, dengan air itulah aku minum dan membasuh lukaku. Aku tinggal di situ selama sebulan, selama itu tiada makanan untuk aku selain dari air Zamzam, tetapi aku tidak merasa lapar malahan tubuhku bertambah sihat. Pada suatu malam purnama, aku dapati penduduk di lembah itu semuanya tidur. Tidak ada seorang pun dari penduduk Mekah yang tawaf di Kaabah. Tiba-tiba aku terlihat dua orang wanita yang dikenali dengan Isaf dan Nailah sambil melakukan tawaf, lalu aku menghampiri keduanya dan menggoda mereka dengan kata-kata yang kesat. Mereka kelihatan marah, ketika hendak meninggalkan tempat tersebut, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pun tiba. Rasulullah s.a.w pun bertanya: Apa yang terjadi pada kamu? Mereka menjawab: Seorang yang beragama Saabi' berada di sekitar Kaabah itu. Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang beliau katakan pada kamu? Mereka menjawab: Beliau mengucapkan kata-kata kesat kepada kami. Selepas itu Rasulullah s.a.w dan sahabatnya iaitu Abu Bakar mengucup Hajarulaswad dan mereka melakukan tawaf di Kaabah kemudian mereka sembahyang. Setelah baginda selesai sembahyang, aku pun menemui baginda. Abu Zar berkata: Aku mengucapkan salam kepada baginda dan baginda menjawab salamku. Setelah itu baginda s.a.w bertanya: Siapa kamu? Aku jawab: Aku dari kaum Ghifar, Semasa baginda mengusap tangan baginda s.a.w ke mukanya. Aku berkata sendirian, sebaiknya aku tidak mengaku bahawa aku dari kaum Ghifar. Aku cuba untuk menghampiri baginda dan memegang tangannya tapi dihalangi oleh sahabatnya iaitu Abu Bakar, sambil mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Semenjak bilakah kamu berada di sini? Aku menjawab: Semenjak sebulan yang lalu. Baginda bertanya: Siapakah yang memberikan makan kepada kamu? Aku menjawab: Tidak ada makanan bagiku melainkan air Zamzam, tetapi aku menjadi sihat dan perutku kelihatan buncit. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya air Zamzam itu penuh keberkatan dan memberikan kekuatan seperti makanan. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memberinya makan pada malam ini. Setelah itu aku, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan tempat tersebut. Abu Bakar membuka pintu rumah, kemudian membawa segenggam anggur kering dari Taif untukku dan itulah makanan pertama semenjak aku di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda kepadaku: Aku tahu ada sebuah daerah yang banyak menghasilkan kurma, iaitu Yathrib. Bolehkah kamu menyampaikan berita kepada kaum kamu mengenai diriku? Mudah-mudahan Allah menolong mereka dan memberi ganjaran padamu. Setelah itu aku pergi menemui Unais. Beliau bertanya padaku: Apakah yang kamu lakukan di sana? Aku menjawab: Aku telah memeluk Islam dan aku telah membenarkannya, setelah itu Unais juga memeluk Islam. Kami kemudiannya menemui ibu kami dan mengajaknya memeluk Islam dan beliau akhirnya memeluk Islam. Begitu juga dengan kaum Ghifar, di mana sebahagian daripada mereka telah memeluk Islam. Mereka diketuai oleh Aima' bin Rahadah Al-Ghifari. Manakala sebahagian yang lain berkata: Sekiranya Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, kami akan memeluk Islam. Setelah baginda s.a.w sampai di Madinah, mereka pun memeluk Islam. Setelah itu datang Kabilah Aslam dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah saudara-saudara kami, maka kami juga mesti memeluk Islam bersama mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar, Allah mengampuni mereka dan kepada Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka..