Search This Blog

Pages

January 13, 2012

Disunatkan Berlari lari Anak Ketika Tawaf Umrah Dan Tawaf Pertama Dalam Ibadat Haji

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Abu At-Tufail r.a katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah pendapatmu mengenai berlari-lari anak ketika Tawaf di Baitullah sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Adakah ianya sunat? Sesungguhnya kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat. Ibnu Abbas r.a menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apakah maksud ucapanmu mereka benar dan juga bohong? Dia menjawab: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Mekah, orang-orang Musyrikin mengatakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya tidak mampu untuk melakukan Tawaf di Baitullah kerana kurus. Mereka berhasad dengki terhadap baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabatnya untuk berlari-lari anak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Aku bertanya lagi: Ceritakan kepadaku tentang Saie di antara Safa dan Marwah dengan menaiki kenderaan. Adakah ia sunat kerana kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat? Beliau menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apa pula maksud ucapanmu mereka benar dan mereka juga bohong itu? Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh orang ramai dan mereka berkata: Ini Muhammad! Ini Muhammad! Sehinggalah keluar wanita-wanita remaja dari rumah mereka. Tetapi Rasulullah s.a.w hanya diam saja. Setelah orang yang mengelilingi baginda semakin ramai baginda pun menaiki kenderaannya dan meneruskan Saie dengan lebih selesa.

Kelebihan Orang Yang Membaca, Mengetahui Al Quran dan Kelebihan Orang Yang Mempelajari, Mengamalkannya Serta Mengajarkannya


Hadis Ibnu Umar r.a: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara iaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan Al-Quran dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang.


January 12, 2012

Sebahagian Dari Kelebihan Jaafar bin Abu Talib DanAsma' Binti Umais Serta Tentera Lautnya

Hadis Abu Musa r.a katanya: 
Telah sampai kepada kami berita keberangkatan Rasulullah s.a.w dan pada ketika itu kami berada di Yaman. Aku dan dua orang saudaraku iaitu Abu Burdah dan Abu Ruhmi bersama dengan orang-orang Muhajirin berangkat menemui Rasulullah s.a.w dan aku merupakan saudara yang terkecil. Abi Musa berkata samada beberapa orang, lima puluh tiga atau lima puluh dua orang dari kaumku menaiki kapal laut. Kami menghalakan kapal kami ke arah pasukan An-Najasyi di Habsyah. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Jaafar bin Abu Talib berserta sahabatnya. Jaafar berkata: Rasulullah s.a.w mengutus dan memerintahkan supaya kami tinggal di sini, maka kamu tinggallah bersama-sama kami. Abu Musa berkata: Kami tinggal bersama beliau sehinggalah kami pulang bersama-sama. Kami menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berjaya membuka Khaibar. Baginda telah membahagikan harta rampasan kepada kami atau dikatakan juga Rasulullah s.a.w memberikan kepada kami sebahagiannya dan Rasulullah s.a.w tidak memberikan harta rampasan tersebut kepada sesiapa pun kecuali kepada tentera yang menyertai pembukaan Khaibar dan kepada pasukan kami yang bersama dengan Jaafar serta sahabat-sahabatnya. Mereka telah membahaginya sesama mereka. Abu Musa berkata: Orang ramai berkata kepada kami iaitu pasukan laut: Kami berhijrah lebih dahulu daripada kamu. Abu Musa berkata: Asma' binti Umais iaitu salah seorang yang menyertai kami menemui Hafsah isteri Nabi s.a.w. Beliau juga telah berhijrah ke Najasyi. Ketika Umar masuk untuk menemui Hafsah, Asma' ada bersamanya. Setelah melihat Asma', Umar berkata: Siapakah ini? Beliau menjawab: Asma' binti Umais. Umar berkata: Adakah ini orang Habsyah yang menyertai angkatan laut? Asma' menjawab: Benar. Umar berkata: Kami lebih dahulu berhijrah daripada kamu, maka kami lebih berhak ke atas Rasulullah s.a.w. Asma' menjawab dengan marah: Wahai Umar! Sesungguhnya kamu berbohong. Aku tahu kamu bersama Rasulullah s.a.w, memberikan makan kepada orang kelaparan dan mengajar orang-orang bodoh, manakala kami yang berada jauh di Habsyah juga adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku memberitahu apa yang kamu katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kami juga diseksa dan ditakuti. Aku akan ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan semua itu dan meminta pendapat baginda. Demi Allah, aku tidak akan berdusta, tidak menyeleweng dan tidak menambahi tentang perkara itu. Setelah Rasulullah s.a.w datang, Asma' pun berkata: Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada yang lebih berhak terhadapku selain daripada kamu. Umar dan sahabat-sahabatnya hanyalah berhijrah satu kali sedangkan pasukan laut berhijrah sebanyak dua kali. Asma' berkata: Aku melihat Abu Musa dan pasukan laut datang untuk bertanya kepadaku mengenai Hadis tersebut. Tidak ada sesuatu yang lebih gembira dan agong di dunia ini melainkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Abu Burdah berkata: Asma' telah berkata: Aku telah bertemu dengan Abu Musa, beliau meminta semula Hadis ini dariku.

January 9, 2012

Mengganti Imam Apabila Didapati Dia Uzur Seperti Sakit, Musafir Dan Sebagainya. Menjadi Imam Kepada Orang Ramai. Manakala Sesiapa Yang Mendirikan Sembahyang Dengan Mengikuti Imam Sedangkan Imam Mendirikan Sembahyang Dalam Keadaan Duduk, Dia Hendaklah Terus Berada Dalam Keadaan Berdiri Sekiranya Berkemampuan. Pembatalan Tuntutan Supaya Dia Duduk Dibelakang Imam Yang Mendirikan Sembahyang Dalam Keadaan Duduk Bagi Orang Yang Berkuasa Berdiri

 Hadis Abu Musa r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w sakit dan semakin lama bertambah tenat. Baginda bersabda: Suruhlah Abu Bakar r.a agar sembahyang bersama orang ramai. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu merasakan tidak layak kalau menduduki di tempatmu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai. Baginda bersabda lagi: Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam menyusun kata-kata. Abu Musa berkata: Kemudian Abu Bakar sembahyang bersama-sama mereka selama Rasulullah s.a.w masih hidup.

January 7, 2012

Sebahagian Dari Kelebihan Umar r.a


Hadis Ibnu Umar r.a: 
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat sebekas susu yang dihidangkan kepadaku. Aku meminumnya sehinggalah aku dapati zatnya memasuki kuku-kuku aku, kemudian aku berikan lebihan aku itu kepada Umar bin Al-Khattab. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pentafsiran kamu mengenai mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Itulah ilmu.



January 6, 2012

Menghukum Mengikut Perkara Zahir Dan Kepintaran Berhujah (Mengemukakan Alasan

 Hadis Ummu Salamah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu berkelahi di hadapanku. Boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pandai mengemukakan alasannya dari yang lain, maka aku akan memutuskan mengikut apa yang telah aku dengari. Oleh sebab itu, sesiapa yang telah aku berikan sebahagian dari hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Kerana sesungguhnya apa yang aku berikan kepadanya itu, tidak lain hanyalah sepotong api Neraka.

Kelebihan Orang Yang Mahir Tentang Al Quran Dan Orang Yang Lemah Dalam Pembacaan Al Quran

  Hadis Aisyah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang pandai membaca Al-Quran itu akan bersama para Rasul yang mulia. Adapun orang yang lemah dan terlekat-lekat ketika membaca Al-Quran dan dia memang berkeinginan untuk membaca Al-Quran, maka dia berhak mendapat dua pahala.

Memberikan Kepada Orang Yang Ingin Dijinakkan Hatinya Kepada Islam Dan Menyabarkan Orang Yang Teguh Imannya

 Hadis Anas bin Malik r.a: 
Sesungguhnya orang ramai dari golongan Ansar telah bercakap-cakap mengenai Peperangan Hunain sewaktu Allah menganugerahkan harta-harta dari kabilah Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy. Melihatkan keadaan itu, mereka pun berkata: Semoga Allah mengampuni Rasulullah. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami iaitu tidak memberi apa-apa kepada kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Anas bin Malik berkata: Kata-kata tersebut disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan agar memanggil golongan Ansar. Baginda menempatkan mereka dalam sebuah khemah dari kulit. Setelah mereka semua berkumpul, Rasulullah s.a.w datang kemudian bertanya: Adakah percakapan yang sampai kepadaku datang dari kamu sekalian? Orang yang bijak di kalangan golongan Ansar menjawab: Orang-orang tua di antara kami tidak mengatakan apa-apa wahai Rasulullah. Pemuda-pemuda dari kalangan kami yang mengatakan: Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada orang Quraisy dan meninggalkan kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberikan kepada orang-orang yang baru saja meninggalkan kekufuran untuk memujuk hati mereka agar tetap dengan Islam. Tidakkah kamu sekalian redha jika mereka beredar dengan membawa harta, sedangkan kamu kembali ke tempat kamu bersama Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang iaitu Rasulullah pasti lebih baik timbangannya dari apa yang mereka bawa iaitu harta. Orang-orang Ansar itu berkata: Tentu sekali kami reda wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian akan menempuhi keadaan yang kamu semua tidak menyukainya. Oleh itu bersabarlah sehingga kamu bertemu Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku akan berada di sebuah telaga menunggu kamu sekalian pada Hari Kiamat. Mereka berkata: Kami akan bersabar.

January 5, 2012

Menerangkan Contoh contoh Nabi s.a.w Menyampaikan Petunjuk dan Ilmu

 Hadis Abu Musa r.a: 
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Perumpamaan Allah Azza Wa Jalla mengutusku menyampaikan petunjuk dan ilmu adalah seperti titisan hujan yang telah membasahi bumi. Manakala bumi tersebut sebahagian tanahnya ada yang subur sehingga dapat menyerap air serta menumbuhkan rumput dan sebahagian lagi berupa tanah-tanah keras yang dapat menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia sehingga mereka dapat meneguk air, memberi minum dan menggembala ternaknya di tempat itu. Ada juga titisan air hujan tersebut jatuh di tanah yang lain, iaitu tanah gersang yang sama sekali tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput rampai. Manakala itu semua adalah perumpamaan orang yang bijak pandai tentang agama Allah dan memanfaatkannya setelah aku diutus oleh Allah. Maka baginda tahu dan mahu mengajar apa yang diketahuinya dan juga perumpamaan orang yang keras kepala yang tidak mahu menerima petunjuk Allah yang kerana-Nya aku diutuskan.

January 3, 2012

Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga

 Hadis Itban bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.