Search This Blog

Pages

October 29, 2011

Orang Yang Ditakuti Kerana Kejahatannya

Hadis Aisyah r.a: Sesungguhnya seorang lelaki meminta untuk masuk berjumpa Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Persilakanlah beliau masuk. Beliau adalah putera yang paling buruk dari sebuah keluarga atau lelaki yang paling buruk dari sebuah keluarga. Ketika lelaki itu masuk berjumpa Nabi s.a.w, maka Nabi s.a.w menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa anda (iaitu baginda) bercakap dan bersikap seramah itu. Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya 

Pahala Yang Diperolehi Oleh Orang Mukmin Yang Ditimpa Sakit Atau Kesedihan dan Selainnya Walaupun Sekadar Tercucuk Duri

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Ketika diturunkan ayat:
 مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِه 
Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. Orang-orang Islam merasa amat sedih tetapi kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Sederhanalah dan jangan terlalu berlebih-lebihan serta berusahalah melakukan yang benar. Setiap musibah yang menimpa orang-orang muslim adalah suatu pelebur kesalahan biarpun hanya sekadar tercucuk duri.

Kelebihan Nabi Ibrahim a.s Sahabat Allah

Hadis Abu Hurairah r.a: 
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim adalah seorang nabi yang sama sekali tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga keadaan. Dua keadaan yang melibatkan Allah, iaitu ucapan Nabi Ibrahim: �Yang bermaksud: Sesungguhnya aku sakit dan ucapan Nabi Ibrahim sendiri: � Yang bermaksud: Sebenarnya patung besar inilah yang memukulnya. Salah satunya adalah melibatkan diri Sarah. Sesungguhnya Ibrahim bersama Sarah pernah datang di wilayah seorang Raja yang diktator. Sarah adalah seorang wanita yang paling cantik. Nabi Ibrahim berkata kepada Sarah: Sesungguhnya jika raja yang diktator itu tahu bahawa kamu adalah isteriku, tentu beliau akan memaksaku untuk memiliki kamu. Jika beliau bertanya kepadamu, maka katakan kepadanya bahawa kamu adalah saudara perempuanku. Sesungguhnya kamu memang saudara perempuanku dalam Islam. Sesungguhnya di wilayah ini aku tidak melihat seorang muslim pun melainkan aku dan kamu. Ketika Nabi Ibrahim memasuki Wilayah Raja diktator tersebut ada seorang rakyatnya yang melihat Sarah. Beliau datang kepada Raja diktator tersebut dan melaporkan: Sesungguhnya telah datang ke wilayah kamu seorang wanita yang hanya patut menjadi milik kamu. Raja tersebut mengirimkan utusan kepada Sarah dan membawanya, lalu Nabi Ibrahim a.s mendirikan sembahyang. Ketika Sarah bertemu muka dengan Raja tersebut. Beliau tidak mampu menguasai tangannya untuk memeluk Sarah kerana tangannya tergenggam erat. Beliau berkata kepada Sarah: Berdoalah kepada Allah agar Allah melepaskan tanganku, aku tidak akan menyusahkan kamu, lalu Sarah berdoa. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama. Raja mengulangi ucapannya, maka Sarah melakukannya. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama dan kedua. Raja berkata: Berdoalah kepada Allah agar dia melepaskan tanganku. Demi Allah aku tidak akan menyusahkan kamu. Sarah menurut saja. Kali ini tangan Raja tersebut terlepas. Lalu Raja tersebut memanggil orang yang membawa Sarah dan berkata: Sesungguhnya yang kamu bawa kepadaku adalah syaitan bukan manusia. Usirkan beliau dari wilayahku dan berikanlah Siti Hajar kepadanya. Abu Hurairah meneruskan kata-katanya: Sarah kembali dengan berjalan kaki. Ketika Nabi Ibrahim a.s melihatnya, beliau menyambutnya seraya bertanya: Bagaimana khabarmu? Sarah menjawab: Baik, sesungguhnya Allah telah mengunci tangan orang yang ingin berbuat jahat atau serong dan memberi seorang khadam (pelayan). 

MIMPI

Hadis Abu Qatadah r.a katanya:
 Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Mimpi itu ada yang datangnya dari Allah dan ada pula yang datangnya dari syaitan. Maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi yang tidak menyenangkan, maka hendaklah beliau meludah ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali, kemudian dia memohon perlindungan daripada Allah dari kejahatannya. Mimpi itu tidak akan membahayakannya. 

Galakan Membunuh Cicak

Hadis Aisyah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberikan nama kepada cicak Fuwaisik iaitu sangat jahat.

Membunuh Ular Dan Selainnya

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Kami pernah bersama Nabi s.a.w di dalam sebuah gua. Di dalam gua tersebut, Allah berfirman kepada baginda: Demi Malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Kami berhasrat untuk mengambil buah kurma yang berada di depan gua tersebut, tiba-tiba keluar seekor ular. Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular itu. Kami bergegas untuk membunuhnya, namun ular tersebut sangat pantas sehingga terlepas. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Rupanya Allah telah melindunginya dari kejahatan kamu, sebagaimana Allah telah melindungi kamu dari kejahatannya. 



Membunuh Ular Dan Selainnya

Hadis Ibnu Umar r.a: 
 Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular-ular berbisa dan ular-ular yang jahat kerana keduanya boleh menggugurkan kandungan dan membutakan pandangan mata.

Kelebihan Berjihad Dan Menjaga Tempat Strategi Perang

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: 


Siapakah orang yang paling baik dari kalangan manusia?


 Nabi s.a.w menjawab: Seseorang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwanya. 


Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? 


Nabi s.a.w menjawab: Seorang mukmin yang berada di kaki bukit dan beribadat kepada Allah serta menjauhkan manusia dari kejahatannya.

Wajib Menyertai Jemaah (Kumpulan) Orang Islam Ketika Timbulnya Fitnah Dalam Setiap Keadaan Dan Haram Melanggar Perintah (Arahan) Serta Mengasingkan Diri Dari Jemaah

Hadis Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

KITAB LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.