Search This Blog

Pages

October 29, 2011

Membunuh Ular Dan Selainnya

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Kami pernah bersama Nabi s.a.w di dalam sebuah gua. Di dalam gua tersebut, Allah berfirman kepada baginda: Demi Malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Kami berhasrat untuk mengambil buah kurma yang berada di depan gua tersebut, tiba-tiba keluar seekor ular. Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular itu. Kami bergegas untuk membunuhnya, namun ular tersebut sangat pantas sehingga terlepas. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Rupanya Allah telah melindunginya dari kejahatan kamu, sebagaimana Allah telah melindungi kamu dari kejahatannya. 



Membunuh Ular Dan Selainnya

Hadis Ibnu Umar r.a: 
 Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular-ular berbisa dan ular-ular yang jahat kerana keduanya boleh menggugurkan kandungan dan membutakan pandangan mata.

Kelebihan Berjihad Dan Menjaga Tempat Strategi Perang

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: 


Siapakah orang yang paling baik dari kalangan manusia?


 Nabi s.a.w menjawab: Seseorang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwanya. 


Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? 


Nabi s.a.w menjawab: Seorang mukmin yang berada di kaki bukit dan beribadat kepada Allah serta menjauhkan manusia dari kejahatannya.

Wajib Menyertai Jemaah (Kumpulan) Orang Islam Ketika Timbulnya Fitnah Dalam Setiap Keadaan Dan Haram Melanggar Perintah (Arahan) Serta Mengasingkan Diri Dari Jemaah

Hadis Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

KITAB LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.

Sesiapa Yang Berniat Jahat Terhadap Penduduk Kota Madinah Allah Akan Memusnahkannya

Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang berniat jahat terhadap penduduk Madinah, maka Allah akan memusnahkannya seperti garam yang larut dalam air. 

Harus Bagi Orang Yang Berihram Atau Tidak Berihram, Membunuh Haiwan Tertentu Samada Di Tanah Halal Ataupun Di Tanah Haram

Hadis Saidatina Aisyah r.a, isteri Nabi s.a.w katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ada empat jenis binatang jahat yang boleh dibunuh di tanah halal ataupun di Tanah Haram, iaitu burung helang, burung gagak, tikus dan anjing liar. 

Kelebihan Merahsiakan Sedekah

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya

Dosa Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak mengeluarkan zakat akan dipakaikan dengan kepingan-kepingan api pada Hari Kiamat, lalu dia dibakar di bahagian rusuk, dahi dan belakangnya dengan kepingan tersebut dalam Neraka Jahanam. Setiap kali kepingan itu menjadi sejuk, ia akan dipanaskan kembali. Setiap hari menyamai lima puluh ribu tahun ukuran sekarang. Keadaan ini berterusan sehinggalah umat manusia diputuskan ke manakah akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang tidak dikeluarkan zakatnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga pemilik unta yang enggan menunaikan zakatnya. Zakat unta ialah susunya ketika diperah. Pada hari Kiamat, pemilik unta-unta tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama untanya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor dari unta-untanya tersebut. Unta-unta peliharaannya akan memijak-mijak dan menggigit pemiliknya. Tatkala unta yang pertama selesai dari menyeksanya, maka unta yang lain pula datang kepadanya. Keadaan ini terjadi dalam satu hari yang mana ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah umat manusia selesai diputuskan ke mana akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing? Rasulullah s.a.w bersabda: Demikianlah juga pemilik lembu dan kambing yang enggan menunaikan zakatnya. Pada Hari Kiamat pemilik lembu dan kambing tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama lembu dan kambingnya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor lembu dan kambingnya tersebut. Lembu-lembu dan kambing-kambing itu tidak ada yang bertanduk bengkok, tidak ada yang tidak bertanduk atau tidak ada yang bertanduk pecah. Semua lembu-lembu dan kambing tersebut menanduk orang itu iaitu pemiliknya yang enggan membayar zakatnya tadi dengan tanduknya dan memijak-mijak dengan tapak kakinya. Apabila lembu atau kambing yang pertama selesai dari menyeksanya, maka datang pula yang lain kepadanya. Keadaan ini terus-menerus terjadi dalam satu hari yang ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah diselesaikan urusan umat manusia. Lalu dibentangkan jalan kepada umat manusia ke manakah mereka akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Ditanyakan lagi: Wahai Rasulullah! Kuda itu ada tiga jenis: Sebagai beban bagi seseorang, sebagai pendinding bagi seseorang dan juga sebagai ganjaran bagi seseorang. Adapun kuda yang menjadi beban bagi seseorang pemiliknya iaitu kuda yang diikat untuk tujuan pameran, bermegah-megah dan memusuhi pendukung Islam. Kuda itu merupakan beban iaitu dosa bagi pemiliknya. Kuda yang menjadi pendinding bagi seseorang pula ialah kuda yang diikat oleh pemiliknya untuk keperluan perjuangan di jalan Allah, kemudian pemilik itu tidak melupakan hak Allah yang terdapat pada punggung dan leher kuda tersebut. Kuda itu merupakan pendinding iaitu penghalang pemiliknya dari api Neraka. Sedangkan kuda yang menjadi ganjaran bagi pemiliknya ialah kuda yang diikat iaitu dipelihara untuk perjuangan di jalan Allah, untuk pendukung Islam, pada tanah yang subur atau taman. Apapun yang dimakan oleh kuda itu dari tanah subur atau taman tersebut, pasti dicatat untuk pemiliknya kebaikan iaitu ganjaran sebanyak yang telah dimakan olah kuda itu dan dicatatkan juga kebaikan untuk pemiliknya sebanyak kotoran dan air kencingnya. Bila tali kekang terputus dan kuda itu meliar iaitu memberontak, ia lari sekali atau dua kali, maka Allah juga akan mencatatkan untuk pemiliknya kebaikan sebanyak langkah-langkah dan kotoran-kotorannya. Jika pemilik kuda itu membawa kudanya pada sebatang sungai, kemudian kuda itu minum dari air sungai tersebut, padahal sebenarnya dia tidak berniat memberi minum kudanya itu, maka Allah mencatatkan untuknya kebaikan sebanyak yang telah diminum oleh kudanya. Baginda ditanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan keldai? Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai keldai, tidak ada sesuatu pun iaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat Al-Fazzah Al-Jami'ah: �
Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang melakukan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga.

Mengenai Orang Yang Berehat Dan Yang Direhatkan Darinya

Hadis Abu Qatadah bin Rib'ie r.a: Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu berehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan iaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya.