Search This Blog

Pages

September 26, 2011

Kelebihan Berpuasa Di Jalan Allah Bagi Orang Yang Mampu, Tanpa Ada Kemudaratan Dan Tidak Meninggalkan Haknya

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1948

Kelebihan Berpuasa

Hadis Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1947

Menjaga Lidah Bagi Orang Yang Berpuasa

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1941

Mengganti Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Hadis Ibnu Abbas r.a: Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata:
 Ibuku telah meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti selama sebulan. Baginda bertanya kepada wanita itu dengan sabdanya: Bagaimana pendapatmu jika ibumu itu masih mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarnya? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dibayar. 


Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1936

Mengganti Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Hadis Saidatina Aisyah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
 Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya. 


Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1935

Qadha Iaitu Mengganti Puasa Bulan Ramadan Di Dalam Bulan Syaaban

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1933

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1929

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1928

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Ibnu Umar r.a: Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1924,

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri).


 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1922