Search This Blog

Pages

September 26, 2011

Mengganti Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Hadis Saidatina Aisyah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
 Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya. 


Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1935

Qadha Iaitu Mengganti Puasa Bulan Ramadan Di Dalam Bulan Syaaban

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1933

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1929

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1928

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Ibnu Umar r.a: Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1924,

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri).


 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1922

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya: Dua hari ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w dari berpuasa. Hari kamu berbuka dari puasa kamu iaitu puasa Ramadan dan satu lagi pada hari kamu makan setelah mengerjakan ibadat Haji.


 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1920

Sesiapa Yang Makan Pada Waktu Siang Hari Asyura, Hendaklah Dia Berpuasa Pada Baki Harinya

Hadis Ar-Rubaiyyi' binti Muawwiz bin Afra' r.a katanya: Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1919,

Sesiapa Yang Makan Pada Waktu Siang Hari Asyura, Hendaklah Dia Berpuasa Pada Baki Harinya

Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan seorang lelaki dari Kaum Aslam pada hari Asyura supaya melaungkan kepada orang ramai tentang sesiapa yang tidak berpuasa, hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang telah terlanjur makan, hendaklah dia menyempurnakan hari tersebut dengan berpuasa sehingga menjelang malam.

Berpuasalah kamu pada hari Asyura

Hadis Abu Musa r.a katanya: Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut.