Search This Blog

Pages

September 19, 2011

Hukum Bercumbu Tidak Haram Selagi Tidak Membangkitkan Nafsunya

Hadis Umar bin Abu Salamah r.a:
Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bolehkah orang yang sedang berpuasa mencium isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tanyakan kepada wanita ini sambil menunjuk ke arah Ummu Salamah yang kemudian memberitahu kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w pernah melakukannya. Lalu Umar bin Abu Salamah berkata: Wahai Rasulullah! Bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah aku adalah orang yang paling bertakwa dan paling merasa takut kepada Allah daripada kamu.

September 18, 2011

Larangan Menyambung Puasa Iaitu Tanpa Makan Dan Minum Pada Waktu Malam

Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Para sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasaseperti itu? Nabi s.a.w menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah.

September 17, 2011

Apabila matahari sudah mulai terbenam berbukalah

Hadis Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya:
Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan. Ketika matahari sudah mulai terbenam, baginda memerintahkan kepada seseorang dengan sabdanya: Wahai Si Polan! Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Hari masih siang. Baginda mengulangi lagi sabdanya: Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu pun turun menyiapkan hidangan serta membawanya kepada baginda. Baginda menikmati hidangan tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda sambil memberi isyarat dengan kedua tangannya: Apabila matahari sudah mulai terbenam di arah sana dan malam pun telah datang dari arah sana, bolehlah berbuka bagi orang yang berpuasa.

Berbukalah bila tenggelam matahari

Hadis Sayidina Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila datangnya malam, berlalulah siang dan tenggelamlah matahari. Orang yang berpuasa pun bolehlah berbuka.

Segerakan berbuka puasa

Hadis Sahl bin Saad r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.

Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa.

Apabila kamu melihat anak bulan Ramadan, hendaklah kamu berpuasa

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu melihat anak bulan Ramadan, hendaklah kamu berpuasa. Apabila kamu melihat anak bulan Syawal, hendaklah kamu berbuka. Jika ianya dilitupi terhadap kamu, berpuasalah selama tiga puluh hari.

September 16, 2011

Seorang wanita tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada bersama kecuali dengan izin suaminya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seorang wanita tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada bersama kecuali dengan izin suaminya. Dia juga tidak boleh mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya ketika suaminya ada bersama kecuali mendapat keizinan suaminya dan apapun yang dia belanjakan dari hasil kerja suaminya tanpa perintah atau izin suaminya itu, maka separuh dari pahalanya adalah untuk suaminya.

September 15, 2011

Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan sembahyang Dhuha dua rakaat dan mendirikan sembahyang sunat witir sebelum tidur.

September 14, 2011

Pintu-pintu syurga

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga: Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang berjuang di jalan Allah) maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah) maka dia diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan orang yang suka berpuasa maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-Rayyan). Abu Bakar As-Siddiq bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua pintu.