Search This Blog

Pages

August 30, 2011

ganjaran sembahyang jenazah dan menghantar jenazah kekubur


Hadis Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud.

sembahyang jenazah takbir 4 kali


Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Bahawa Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazah Asamah An-Najasyi, Baginda bertakbir sebanyak empat kali.

August 28, 2011

Sembahyang Malam Dan Bilangan Rakaat Yang Dilakukan Oleh Nabi Pada Waktu Malam. Sesungguhnya Sembahyang Witir Itu Satu Rakaat Dan Sembahyang Satu Rakaat Adalah Sah


Hadis Aisyah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang malam sebanyak sebelas rakaat, salah satu daripadanya sembahyang Witir. Apabila baginda selesai sembahyang baginda berbaring di atas lambung kanan sehinggalah baginda mendengar suara tukang azan, lalu baginda mendirikan sembahyang dua rakaat dengan ringkas.

August 27, 2011

Riwayat Mengenai Orang Yang Tidur Malam Sehingga Pagi


Hadis Ali bin Abu Talib r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w telah datang berjumpa Ali dan Fatimah pada suatu malam. Baginda bertanya: Adakah kamu tidaksembahyang? Ali segera menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berada di bawah kuasa Allah. Jika Allah berkehendak supaya kami bangun, tentu Dia akan membangunkan kami. Mendengar jawapan Ali itu, Rasulullah s.a.w terus beredar. Kemudian Ali mendengar baginda menepuk pahanya seraya bersabda dengan firman Allah:وَكَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا Yang bermaksud: Dan sememangnya manusia itu adalah makhluk yang banyak membantah.

Kelebihan Bilal

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Syurga. Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentakdirkan aku mendirikan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada malam ataupun siang hari.

August 26, 2011

Sembahyang Malam Dan Bilangan Rakaat Yang Dilakukan Oleh Nabi Pada Waktu Malam


Hadis Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman katanya: Sesungguhnya dia bertanya kepada Aisyah: Bagaimanakahsembahyang Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan? Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w tidak menambah bilangan rakaatsembahyangnya lebih dari sebelas rakaat samada pada bulan Ramadan ataupun pada bulan-bulan lain. Baginda mendirikansembahyang sebanyak empat rakaat dan janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya serta tempoh masanya. Kemudian baginda mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat lagi. Janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya dan tempoh masanya, seterusnya baginda mendirikan lagi sembahyangnya sebanyak tiga rakaat. Aisyah menceritakan bahawa dia telah bertanya Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu mendirikan sembahyang Witir? Baginda menjawab dengan bersabda: Wahai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hatiku tetap sedar.

Sembahyang Malam


Hadis Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Abu Ishak r.a katanya: Aku pernah bertanya Al-Aswad bin Yazid r.a tentang apa yang diceritakan oleh Aisyah r.a kepadanya mengenai sembahyang Rasulullah s.a.w. Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w tidur pada awal malam dan baginda bangkit pada akhir malam. Kemudian sekiranya baginda mempunyai kemahuan terhadap isterinya, baginda menunaikan hajat baginda itu, kemudian baginda tidur. Apabila terdengar azan yang pertama (Aisyah berkata): baginda akan bangkit tergesa-gesa. (Demi Allah! Aisyah tidak mengatakan: Baginda bangkit) lalu mengambil air dan membasuh tubuh baginda. (Begitu juga demi Allah! Aisyah tidak mengatakan bahawa: Rasulullah mandi dan aku tahu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah), sekiranya baginda tidak dalam keadaan junub baginda hanya akan mengambil wuduk untuk sembahyang kemudian baginda sembahyang dua rakaat.

August 25, 2011

Tidak Digalakkan Bersusah Payah Musafir Untuk Sembahyang Kecuali Menuju Ke Tiga Buah Masjid

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa.

August 24, 2011

sembahyang malam rasulullah


Hadis Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Masruq katanya: Aku bertanya kepada Aisyah mengenai amalan Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Baginda suka berdiam diri. Aku bertanya lagi: Bilakah masanya baginda sembahyang? Aisyah menjawab: Apabila mendengar suara ayam jantan berkokok baginda bangkit dan mendirikan sembahyang.

Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan


Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu itu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwuduk maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyangmaka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas dan kekusutan hati.