Search This Blog

Pages

August 11, 2011

Digalakkan Sembahyang Dua Rakaat Sebelum Sembahyang Maghrib

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Kami berada di Madinah. Ketika tukang azan mula mengumandangkan azan untuk sembahyang Maghrib, ramai orang yang tergesa-gesa untuk mendirikan sembahyang dua rakaat. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang agak asing masuk ke dalam masjid dan terus mendirikan sembahyangMaghrib kerana menyangka orang ramai telah pun sembahyang, disebabkan ramainya bilangan orang yang sedang sembahyang (sunat).

Boleh qada sembahyang sunat jika tertinggal

Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Abu Salamah katanya: Aku pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a mengenai dua rakaat sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sesudah Asar. Aisyah r.a menjawab: Itu sebenarnya adalah dua rakaat sebelum Asar yang tidak sempat baginda lakukan kerana sibuk oleh suatu urusan ataupun kerana terlupa, lalu baginda lakukannya setelah sembahyang Asar. Kemudian hal itu baginda tetapkannya kerana memang itulah kebiasaan baginda s.a.w.

Waktu yang dilarang sembahyang

Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila matahari telah mula kelihatan, maka tangguhkan sembahyang hingga ia bersinar terang. Begitu juga apabila matahari sudah mulai terbenam, maka tangguhkan dulu sembahyang sehinggalah ia benar-benar terbenam.

Waktu yang dilarang sembahyang

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu menuntut untuk mendirikan sembahyang ketika matahari terbit dan juga ketika matahari terbenam.

Rasulullah s.a.w telah menegah daripada sembahyang selepas Subuh dan Asar

Hadis Umar bin Al-Khattab r.a:
Rasulullah s.a.w telah menegah daripada sembahyang selepas Subuh sehinggalah terbit matahari dan juga selepas Asar sehinggalah terbenam matahari.

August 10, 2011

Berdoa Ketika Sembahyang Malam

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Aku bersama Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan sehinggalah kami berhenti di suatu jalan yang menghubungkan dengan suatu tempat yang ada air. Rasulullah s.a.w bertanya: Tidakkah kamu ingin mendapatkan air, wahai Jabir? Aku menjawab: Sudah tentu! Beliau berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w turun dan aku mengambil air. Jabir berkata: Rasulullah pergi menunaikan hajatnya dan aku menyediakan air untuk baginda berwuduk. Setelah selesai menunaikan hajat baginda kembali kepadaku lalu berwuduk dan bangkit seterusnya sembahyang dengan menggunakan sehelai pakaian yang diikat antara dua punca kain tersebut. Aku berdiri di belakang baginda, lalu baginda memegang telingaku dan menarikku ke arah kanan baginda.

Berdoa Ketika Sembahyang Malam

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Suatu malam aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah. Pada malam tersebut Nabi s.a.w bangun lalu menunaikan hajatnya (hadas). Kemudian baginda membasuh muka dan kedua tangannya lalu baginda tidur, kemudian baginda bangkit lagi. Setelah itu baginda menuju ke Kirbah (iaitu bekas yang digunakan untuk menyimpan air diperbuat dari kulit) lalu membuka penutupnya. Kemudian baginda mengambil wuduk, wuduk di antara dua wuduk (wuduk pertama dengan wuduk kedua). Kemudian baginda berdiri lalu sembahyang, aku pun bangkit perlahan-lahan supaya baginda tidak melihatku, lantas aku mengambil wuduk lalu aku sembahyang di sebelah kiri baginda, baginda menarik tanganku supaya aku berpindah ke sebelah kanannya. Rasulullah s.a.w menyempurnakan sembahyang malam sebanyak tiga belas rakaat. Kemudian baginda berbaring, lalu tidur sehingga berdengkur. Kemudian datanglah Bilal lalu melaungkan azan. Lalu baginda bangkit dan terus mendirikan sembahyang tanpa berwuduk terlebih dahulu. Baginda membaca di dalam doanya: اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورً Yang bermaksud: Tuhanku! Jadikanlah dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.

Dorongan Supaya Melakukan Sembahyang Malam Pada Bulan Ramadan, Iaitu Sembahyang Tarawih

Hadis Aisyah r.a:
Pada suatu malam Rasulullah s.a.w sembahyang di masjid. Ada beberapa orang yang turut sembahyang bersama baginda, kemudian datang satu Kabilah juga turut sembahyang bersama baginda. Bilangan orang yang sembahyang bersama baginda menjadi semakin bertambah. Pada malam ketiga atau keempat selepas itu orang ramai berkumpul menunggu baginda tetapi Rasulullah s.a.w tidak keluar (sembahyang) bersama mereka. Apabila tiba waktu pagi baginda bersabda: Sesungguhnya aku melihat apa yang telah kamu lakukan, maka apa yang menegah aku dari keluar ialah aku bimbang sekiranya perkara ini difardukan ke
atas kamu. Baginda bersabda: Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan.

Dorongan Supaya Melakukan Sembahyang Malam Pada Bulan Ramadan, Iaitu Sembahyang Tarawih

Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

August 9, 2011

sesiapa yang sembahyang malam, maka hendaklah dia mengakhiri sembahyang itu dengan sembahyang Witir

Hadis Ibnu Umar r.a katanya:sesiapa yang sembahyangmalam, maka hendaklah dia mengakhiri sembahyang itu dengan sembahyang Witir. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan begitu.