Search This Blog

Pages

July 5, 2011

KITAB SIFAT ZUHUD DAN LEMAH LEMBUT

Hadis Umar bin Auf r.a:
Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain. Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Al-Ala' bin Al-Hadhrami untuk mengutip Jizyah dari penduduk Bahrain. (Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta Jizyah. Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang ber
sembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w. Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada Baginda. Rasulullah s.a.w senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian Baginda bersabda: Aku kira kamu semua (Orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu. Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kamu (dengan wang ini). Demi Allah. Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.

Sembahyang tanda syukur

Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a:
Bahawa Nabi s.a.w telah mendirikan 
sembahyang hingga pecah-pecah telapak kaki baginda. Maka baginda ditanya: Mengapa engkau menyusahkan diri dengan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampuni segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!.

Doa Yang Perlu Dibaca Ketika Hendak Tidur Dan Ketika Hendak Ke Tempat Tidur)

Hadis Al-Bara' bin Azib r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu ingin ke tempat tidur, berwuduklah terlebih dahulu sebagaimana kamu berwuduk untuk 
sembahyang. Kemudian berbaringlah di atas lambung kanan. Kemudian bacalah:



 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ 


ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ آمَنْتُ



بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ




 jadikan doa ini sebagai ucapan (kata-kata) terakhir pada malam tersebut. Di mana sekiranya kamu mati nescaya kamu mati dalam keadaan fitrah (suci bersih). Al-Bara' berkata: Aku mengulangi kalimah-kalimah tersebut supaya mengingatinya. Aku menyebut: 


آمَنْتُ بِرَسُولِكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ 


Rasulullah s.a.w bersabda: Sebutlah


 آمَنْتُ بِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ 

Mendahulukan Berbuat Baik Terhadap Kedua Orang Tua Daripada Sembahyang Sunat dan Selainnya)

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Seorang yang bernama Juraij sedang beribadat di sebuah gereja. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi' pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya daripada Rasulullah s.a.w iaitu dengan meletakkan tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulakan 
sembahyang. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri: Ya Allah! Ibuku atau sembahyangku. Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Tidak berapa lama selepas itu, perempuan tersebut pergi untuk yang kedua kalinya. Beliau memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi kepada diri sendiri: Ya Allah! Ibuku atausembahyangku. Tetapi beliau masih lagi memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya perempuan itu berkata: Ya Allah! Sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata beliau enggan menjawabnya. Ya Tuhan, janganlah Engkau matikan beliau sebelum beliau mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari seorang penggembala kambing sedang berteduh di gereja Juraij yang terletak jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat tersebut. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak dari siapakah ini? Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni gereja ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi perejang. Mereka berteriak memanggil Juraij, yang mana pada waktu itu sedang bersembahyang. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bangunan gerejanya. Ketika melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata kepada Juraij: Tanyalah anak ini. Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan bertanya: Siapakah bapamu? Anak itu tiba-tiba menjawab: Bapaku adalah seorang penggembala kambing. Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: Kami akan mendirikan gerejamu yang kami robohkan ini dengan emas dan perak. Juraij berkata: Tidak payahlah, biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya.

Rukun rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung

Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu mengesakan Allah, mendirikan 
sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.

July 4, 2011

Keterangan Tentang Iman, Islam Dan Ihsan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan 
sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 



إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا 


تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ 


اللَّهَ عَلِيْمٌ خَبِيرٌ 




Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.

July 3, 2011

Selamatkanlah diri kamu dari Neraka

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Ketika turunnya ayat Al-Quran surah As-Syura, ayat 214



 وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ


Yang bermaksud: Berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat. Rasulullah s.a.w telah menyeru kaum Quraisy lalu mereka semua berkumpul. Rasulullah s.a.w telah berbicara secara umum dan secara khusus. Baginda bersabda lagi: Wahai Bani Kaab bin Luaiy. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Murrah bin Kaab. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Syams. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Manaf. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Hasyim. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Muttalib. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Fatimah. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Sesungguhnya aku tidak boleh menolak sebarang seksaan Allah kepada kamu, maka janganlah merasa selamat dari azab Allah dengan sebab mempunyai hubungan kerabat denganku melainkan kamu menjalinkan hubungan silaturahim iaitu Islam. Tentu aku akan menguatkan hubungan itu dengan hubungan yang kuat iaitu ihsan.

July 2, 2011

Allah Tidak Akan Berkata kata Kepada Tiga Golongan Manusia Pada Hari Kiamat, Tidak Membersihkan Mereka Dari Dosa Dan Mereka Akan Diazab Dengan Azab Seksa Yang Pedih

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan di
azab dengan azab seksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah.

July 1, 2011

June 30, 2011

Haram Membunuh Orang Kafir Yang Telah Mengucap Kalimah Syahadat Iaitu لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّ

Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah. Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian keranatakutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. Usamah menceritakan lagi, Saad telah berkata: Demi Allah, aku tidak akan membunuh seorang muslim sehinggalah ianya telah dilakukan oleh orang yang mempunyai perut yang kecil, iaitu Usamah. Usamah berkata lagi, seorang lelaki telah bertanya: Tidakkah Allah telah berfirman وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ Yang bermaksud: Dan Perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah serta jadikanlah agama itu semata-mata kerana Allah. Maka Saad menjawab: Sesungguhnya kami memerangi mereka supaya tidak berlaku fitnah, tetapi kamu dan para sahabat kamu memerangi mereka, untuk menimbulkan fitnah.