Search This Blog

Pages

June 23, 2011

Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat syariat Islam

Hadis Muaz r.a katanya:
Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka yang sangat disayangi dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.

June 22, 2011

Al-Asr! Demi Masa !...........: Pakaian Berwarna Putih

Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)

Pengajaran Hadis:

1. Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang ada gambar (bergambar), tulisan dan corak-corak. Diriwayatkan dari Aisyah katanya;:”Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, nabi berkata:”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku.” (HR al-Bukhari)

2. Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu.

3. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan kerana ia boleh mempengaruhi kesempurnaan dalam solat sepeti khusyukkan dalam bersolat.

4. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta'ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta'ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

5. Di dalam kitab Bahrulmazi ada menyebut bahawa Siti Aishah RA menceritakan hadis Nabi SAW yg berbunyi "Adalah Nabi itu berminat dengan pakaian yang putih bersih dan banci pada pakaian yang kotor."

6. Maka pada hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan bagi sekalian umat-umatnya berpakaian dgn pakaian yang putih dan bersih, terutamanya untuk hadir Solat Jumaat dan Jemaah, dan juga pada tempat-tempat keramaian dan memberi pakai kepada anak-anak mahupun keluarga pakaian yg berwarna Putih kerana mengikut perbuatan dan suruhan Nabi SAW.Al-Asr! Demi Masa !...........: Pakaian Berwarna Putih

June 21, 2011

Meninggikan Bacaan Di dalam Sembahyang Subuh Dan Membaca Al Quran Kepada Jin

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w belum pernah membaca Al-Quran dan mengajar agama kepada jin dan belum pernah pula melihat mereka. Kisahnya, baginda berangkat bersama dengan rombongan para sahabat menuju ke pasar Ukaz Pada ketika itu, tipu muslihat antara syaitan dan berita dari langit dihalangi dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka, lalu berkata: Antara kami dan berita dari langit ditipu daya dan kami dilempari dengan panah api. Kaum mereka berpendapat: Keadaan itu adalah kerana ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi di sebelah timur dan barat. Telitilah apa yang menghalangi antara kita dan berita dari langit. Mereka pun pergi ke bumi di sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin dari mereka menuju ke arah Tihamah iaitu mengikuti Nabi s.a.w. Baginda berada di bawah pokok tamar dalam perjalanan ke pasar Ukaz. Pada saat itu, baginda sedang sembahyang Subuh bersama para sahabat. Ketika mereka mendengar Al-Quran, mereka memerhatikannya, lalu berkata: Inilah yang menghalangi antara kita dengan berita dari langit. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku. إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا Yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah mendengar bacaan yang mengkagumkan, yang boleh menunjukkan kita kepada kebenaran, maka aku beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan siapa pun. Maka Allah s.w.t menurunkan kepada nabiNya Muhammad s.a.w ayat قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ Yang bermaksud: Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya
sekumpulan jin telah mendengar bacaan Al-Quran.

June 20, 2011

Sepuluh Tanda-tanda Kiamat yang Besar

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".
(H.R Muslimi)
Keterangan
Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:
  1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
  2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
  3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
  4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
  5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
  6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
  7. Gempa bumi di Timur.
  8. Gempa bumi di Barat.
  9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
  10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".

June 19, 2011

Aku bimbang angin atau mendung itu menjadi azab untuk menyeksa umatku.

Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:
Biasanya apabila hari berangin atau mendung, wajah Rasulullah s.a.w kelihatan gelisah. Bila hujan mulai turun, wajah baginda menjadi berseri dan hilanglah kegelisahan baginda. Aisyah bertanyakan hal itu kepada baginda. Baginda menjawab: Aku bimbang angin atau mendung itu menjadi azab 
untuk menyeksa umatku. Jika baginda melihat hujan, baginda akan berkata: Itu adalah rahmat.

June 18, 2011

Rasulullah s.a.w memohon perlindungan dari azab kubur ketika baginda sembahyang

Hadis Aisyah r.a katanya:
Dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku. Kedua perempuan itu berkata: Sesungguhnya ahli kubur akan di azab dalam kubur mereka. Lalu Aisyah berkata: Kamu berdua ini penipu dan aku tidak mahu membenarkan kata-kata mereka itu, maka kedua-dua perempuan itu meninggalkan aku. Setelah itu Rasulullah s.a.w datang lalu aku berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku dan mereka mengatakan bahawa ahli kubur akan di azab di dalam kubur mereka. Lalu Rasulullah bersabda: Memang benar kedua-dua orang perempuan Yahudi itu akan di azab, hanya binatang sahaja yang dapat mendengar azab itu. Aisyah berkata lagi: Aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w memohon perlindungan dari azab kubur ketika baginda sembahyang
.

June 17, 2011

Azab neraka wail untuk anggota wudhuk yang tak kena air ( wudhuk tak sempurna)

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w telah melihat seorang lelaki tidak membasuh kedua tumitnya ketika mengambil wuduk. Maka baginda pun bersabda: Celakalah iaitu
mendapat azab Neraka Wail bagi tumit-tumit yang tidak basah sewaktu berwuduk dengan seksaan api Neraka.

Masuk syurga tanpa hisab

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku telah diperlihatkan oleh Allah beberapa golongan umat manusia. Maka aku telah melihat seorang Nabi bersamanya satu kumpulan manusia iaitu tidak lebih dari sepuluh orang. Seorang Nabi bersamanya seorang lelaki dan dua orang lelaki dan seorang Nabi tanpa seorang pun bersamanya. Tiba-tiba diperlihatkan kepada aku satu kumpulan yang ramai. Aku menyangka mereka adalah dari umatku. Tetapi dikatakan kepadaku mereka adalah Nabi Musa a.s dan kaumnya. Lihatlah ke ufuk, lalu aku pun melihatnya, ternyata terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan lagi kepadaku: Lihatlah ke ufuk yang lain. Ternyata di sana juga terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan kepadaku: Ini adalah umatmu dan bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang yang akan memasuki Syurga tanpa dihisab dan di
azab. Kemudian Rasulullah s.a.w bangkit lalu masuk ke dalam rumahnya. Orang ramai telah berbincang mengenai mereka yang akan dimasukkan ke dalam Syurga tanpa dihisab dan diazab. kemudian setengah dari mereka berkata: Mungkin mereka adalah orang-orang yang selalu bersama Rasulullah s.a.w. Ada pula yang mengatakan: Mungkin mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik terhadap Allah. Mereka mengemukakan pendapat masing-masing. Ketika itu Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka lalu Baginda bertanya dengan bersabda: Apa yang telah kamu bincangkan? Mereka pun menerangkan keadaan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w terus bersabda: Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan jampi mentera, tidak meminta supaya dibuat jampi mentera, tidak meramalkan perkara-perkara buruk dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. Ukkasyah bin Mihsan berdiri lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu termasuk dari kalangan mereka. Kemudian berdiri seorang lelaki yang lain lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Ukkasyah telah mendahului kamu supaya digolongkan dari kalangan mereka yang memasuki Syurga tanpa dihisab.

Azab paling ringan dineraka

Hadis An-Nu'man bin Basyir r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling ringan 
azabnya pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan pada tapak kakinya dua biji batu dari Neraka, ianya akan menyebabkan otaknya mendidih iaitu lelaki yang tidak pernah kena tanah semasa berjalan.

Allah tidak berkata-kata pada 3 golongan manusia dihari qiamat

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan di
azab dengan azab seksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah.