Search This Blog

Pages

February 28, 2011

Kehilangan solat asar seakan-akan kehilangan keluarga dan harta.

Dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah saw bersabda:

" Orang yang ketinggalan solat Asar,seakan-akan dirampas keluarga dan hartanya."

February 27, 2011

Dapat satu rakaat dapat semua

sabda Rasulullah saw

" Barangsiapa sempat melakukan satu rakaat solat subuh sebelum matahari terbit, berarti ia telah menemukan subuh( seluruh- yakni tidak qada). Dan barangsiapa sempat mengerjakan satu rakaat asar sebelum matahari terbenam, bererti ia telah mencapai solat asar"
Abu Hurairah

February 26, 2011

Diampunkan dosa orang-orang dimajlis zikrullah

Hazrat Anas r.a. memberitakan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda:
"Orang yang berkumpul untuk berzikrullah dengan tujuan mendapatkan keredzaanNya maka
seorang malaikat berseru dari langit bahawa dosa-dosamu telah diampunkan dan kejahatan-kejahatanmu
telah dighantikan dengan kebaikan."

February 25, 2011

Berdamping dengan orang alim dapat kebaikan dunia dan akhirat

Sabda Rasulullah saw,

Mahukah saya khabarkan satu perkara yang dengannya kamu akan mencapai kebaikan dalam dunia ini dan akhirat kelak?- ingatlah bahawa ia adalah perdampingan demgan mereka yang mengingati serta membesarkan Allah swt siang dan malam.



Fazaile- Amal 

February 24, 2011

Al-Quran Sebagai Pemberi Syafaat Di Hari Akhirat

Mutiara Hati


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

(Riwayat Muslim)"

Keistimewaan Memeluk Islam!


Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)
Huraian:
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf.
Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka.
Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

February 23, 2011

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
Riwayat Abu Daud
Huraian:
  • Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
  • Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
  • Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

February 22, 2011

Ganjaran Istimewa Dari Amal Kebaikan


Nabi s.a.w bersabda: “Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah.”
Abu ad-Dardaa’ r.a
Huraian:
  • Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.
  • Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:
  • Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.
  • Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
  • Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.
Himpunan Hadis

February 21, 2011

Kelebihan Bersedekah


Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Bukhari)
Huraian:
  • Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
  • Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
  • Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
  • Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

February 20, 2011

Wasilah menghampirkan diri kepada Allah SWT dan mencapai cinta-Nya


Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi wali-wali-Ku sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada mu dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya”.
(Al-Bukhari)
Huraian:
  • Wali adalah hamba-hamba Allah yang ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT semata-mata kerana Allah SWT. Ini tersebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan dalam kehidupan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)
  • Apabila hati penuh dengan kebesaran Allah SWT maka dihapuskan apa yang selain darinya. Dia tidak akan berbicara melainkan dengan zikir kepada Allah, tidak mendengar melainkan tentang Allah SWT, tidak melihat melainkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
  • Setiap orang yang menyakiti wali Allah, contohnya seorang yang fasik memusuhi wali disebabkan sentiasa menegahnya daripada melakukan kejahatan dan maksiat, maka Allah SWT akan memusuhinya. Ini disebabkan seorang wali merupakan mereka yang benar-benar mencintai Allah dan sentiasa menghampirkan diri pada-Nya maka sebagai balasannya Allah akan memeliharanya dan mengawasinya daripada segala ancaman yang tidak baik kerana ia seolah-olah telah menyakiti Allah juga.
  • Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah mengerjakan perintah-perintahnya dan menjauhi larangannya serta banyak mengerjakan amalan-amalan sunat dan kebajikan. Antara doa yang selalu dibaca oleh untuk menjadikan diri kita dekat kepada Allah ialah sebagaimana doa Rasulullah SAW yang bermaksud:” Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hati ku, cahaya di dalam penglihatan ku dan cahaya di dalam pendengaran ku.” Sesungguhnya doa seorang wali adalah mustajab.
  • Golongan wali-wali yang paling utama di sisi Allah SWT ialah para Nabi dan Rasul yang maksum disusuli pula oleh para sahabat dan mereka yang datang selepasnya.